Jakarta: Seorang lelaki Hong Kong dipercayai raja dadah digari dan dipakaikan topeng hitam bersama anggota kumpulannya dipaksa untuk membakar stok ‘ais’ - atau dadah Methamphetamine - bernilai AS$136 juta (RM492 juta) secara terbuka, semalam.

Wong Chi-ping dan beberapa suspek lain dibawa ke depan media sebelum diarah membuang bungkusan dadah ke dalam api marak di pusat pembakaran gergasi di luar Jakarta.

Ketua agensi antidadah Indonesia, Anang Iskanda berkata, sebanyak 862 kilogram dadah dimusnahkan di pusat pembakaran itu.

“Dadah ialah sampah, kerana itu kami membakarnya,” katanya.

Wong dianggap ketua kumpulan yang dianggotai tiga lagi warga Hong Kong, seorang warga Malaysia dan empat warga Indonesia.

Mereka ditangkap awal bulan ini selepas tiga tahun siasatan dijalankan.

Mereka semua bakal berdepan hukuman mati jika didapati bersalah mengedar dadah.

Indonesia adalah antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah paling tegas di dunia, malah kempen itu semakin giat di bawah pentadbiran Presiden Jokowi.

Awal bulan ini, enam pesalah dadah, termasuk lima warga asing dihukum mati oleh skuad penembak.

Pihak berkuasa Indonesia mula memantau pergerakan Wong sejak 2012. Dia ditangkap selepas bot nelayan membawa masuk dadah ke Jakarta untuk dijual. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:03 AM