Skip this ad x
POLIS menunjukkan barangan yang dirampas selepas enam suspek diberkas.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah bangunan dan pejabat sekitar Melaka, Johor dan Selangor didalangi Geng Tebuk selepas memberkas enam warga Vietnam yang juga ahli kumpulan itu pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, penangkapan enam penjenayah itu bermula dengan penahanan empat lelaki warga Vietnam dalam satu sekatan jalan di Batu 16, Jasin-Bemban, di sini, 19 Januari lalu.

"Kami menubuhkan satu Task Force Op Tebuk untuk memburu geng pecah pejabat ini dan dalam sekatan jalan pada 2.45 pagi, kereta berwarna putih dinaiki empat lelaki didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila pemeriksaan dilakukan ke atas keempat-empat suspek berusia 20 hingga 37 tahun dan kereta terbabit menemui empat topeng berwarna gelap, sehelai topeng mulut, tiga pasang sarung tangan kain, pemotong besi, kuku kambing dan banyak lagi dalam kereta terbabit," katanya dalam sidang media di IbuPejabat Polis Daerah Jasin, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal ke atas keempat-empat suspek membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki warga Vietnam di dua lokasi berbeza di Taman Sri Krubong, Melaka.

"Hasil tangkapan enam lelaki ini, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah pejabat di Jasin (dua kes) dan Alor Gajah (dua kes) Melaka, kecurian motosikal di Subang Jaya, Selangor serta kes pecah pejabat di Sungai Mati, Muar, Johor dan Desa Jaya, Gombak, Selangor.

"Keenam mereka kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 14 tahun  dan juga denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 1:56 PM