MODEL rumah kekal yang akan dibina di Manek Urai.
MODEL rumah kekal yang akan dibina di Manek Urai.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Krai: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan fasa bantuan kekal untuk mangsa banjir bermula hari ini dengan langkah awal adalah pembinaan rumah kekal untuk mereka yang kehilangan rumah.

Katanya, buat permulaan lima rumah kekal berciri kurang risiko dibina di Manek Urai yang diarah siap dalam tempoh 75 hari selepas tarikh milik tanah diperoleh.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya bertanggungjawab untuk memantau projek pembinaan perumahan kekal termasuk pemilihan kontraktor yang 100 peratus tempatan.

"Kita kini memulakan fasa bantuan kekal dan didahulukan dengan pembinaan rumah kekal. Hari ini lima rumah di Manek Urai akan dibina dan siap dalam tempoh 75 hari.

"Terdapat 138 unit rumah lagi akan dibina di Manek Urai dengan modelnya adalah berciri kurang risiko. Tinggi lapan kaki (2.4 meter)dan mempunyai keluasan 660 kaki persegi (61.3 meter persegi)," katanya.

Beliau berkata demikian dihadapan lebih 5,000 penduduk Kuala Krai di Majlis Penyampaian Bantuan Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru, di sini, tadi.

Sejumlah RM40 juta diperuntukkan bagi membantu 50,000 keluarga di Kelantan menerusi bantuan 11 barang keperluan kelolaan Biro Kebajikan UMNO Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 2:25 PM