Oleh Mohd Nasif Badruddin

Jertih: Seorang peniaga wanita berusia 31 tahun didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup bernilai RM148.48 di Mahkamah Majistret Besut, hari ini.

Norsafrina Mustapha didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kedai runcit Seven SM Enterprise, Kampung Gong Kepas, dekat sini, kira-kira jam 1.15 petang pada 23 Disember 2013.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki pelbagai jenis rokok tidak sah antaranya Surya, John White dan Premium bernilai RM148.48 iaitu barangan larangan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import 2012).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Karthy Gasedev Deva Rajoo di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:15 PM