Oleh Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Seorang lelaki dipercayai mengalami sakit jantung nyaris maut apabila kenderaan ambulans dinaikinya dalam perjalanan ke Hospital queen Elizabeth II (HQE II), terbalik selepas dilanggar kereta jenis pacuan empat roda di lampu isyarat Damai, Jalan Tuaran Lama, petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 43 tahun bagaimanapun hanya mengalami calar di badan manakala pemandu ambulans berusia 34 tahun luka di siku kanan.

Sementara itu, pembantu pemandu ambulans berusia 24 dan pemandu kereta pacuan empat roda berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ambulans dalam perjalanan dari Poliklinik Jalan Pantai menuju ke HQE II untuk menghantar seorang pesakit sebelum dirempuh kereta pacuan empat roda dari arah belakang kanan.

Akibat kejadian itu, ambulans terbalik secara mengiring.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Superintendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Kaedah 9(1) 166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 7:52 PM