Reuters

London: Pengurus Mauricio Pochettino berdepan kesukaran membuat keputusan paling tepat jika penjaga gol Hugo Lloris dan Michel Vorm masing-masing cergas untuk mewakili Tottenham Hotspur menentang Chelsea pada final Piala Liga di Wembley, 1 Mac ini.

Beliau perlu memutuskan sama ada mahu terus mempertaruhkan penjaga gol kedua, Vorm yang diturunkan pada setiap perlawanan Piala Liga atau memberi peluang kepada Lloris yang juga antara penjaga gol terbaik dunia ketika ini.

Spurs layak ke final dengan agregat 3-2 ke atas pasukan divisyen tiga, Sheffield United semalam selepas gol lewat permainan Christian Eriksen membolehkan mereka seri 2-2 di Bramall Lane.

Spurs dilihat berpeluang mara mudah selepas Eriksen menjadikan mereka mempunyai kelebihan agregat 2-0 dengan menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-28, tetapi Sheffield bangkit meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Che Adams untuk mendahului 2-1.

Spurs membuktikan kekuatan dan karektor apabila kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-88 dan jaringan Eriksen yang keempat buatnya musim ini.

Begitupun, Vorm kembali diberi kepercayaan oleh Pochettino walaupun kesilapannya memberi peluang kepada Leicester City untuk mengatasi Spurs, 2-1 pada pusingan keempat Piala FA di White Hart Lane, Sabtu lalu.

Vorm sekali lagi melakukan kesilapan mudah apabila terlepas bola hantaran lintang dan hampir memberikan gol kepada Sheffield United.

Spurs melangkah ke Wembley dengan harapan dapat mengulangi kejayaan 2008 apabila mengalahkan Chelsea 2-1. Jumlah jaringan itu juga adalah sama ketika pertemuan kedua-dua pasukan di final Piala FA 1967.

Dan jika Pochettino mahu mencatat kemenangan ketiga di final ke atas Chelsea, beliau perlu memikirkan sesuatu yang lebih berkesan berbanding rencana pengurus Chelsea Jose Mourinho.

Petr Cech yang menjadi penjaga gol kedua di belakang Thibaut Courtois, diturunkan pada setiap perlawanan domestik kecuali pada separuh akhir pertama menentang Liverpool.

Cech kembali diturunkan pada pusingan keempat Piala FA menentang Bradford City Sabtu lalu, tetapi selepas pasukan divisyen tiga itu mengalahkan Chelsea 4-2, Courtois kembali diturunkan pada perlawanan kedua menentang Liverpool.

Penjaga gawang Belgium itu dipuji pengurus Liverpool Brendan Rodgers kerana memastikan kemenangan Chelsea Rabu lalu menerusi aksi hebat menyelamatkan pintu golnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 8:04 AM