X

London: Penyerang Chelsea Diego Costa berdepan penggantungan tiga perlawanan selepas didakwa memijak kaki pemain Liverpool, Emre Can umum Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, kelmarin.

Costa dilihat sengaja memijak pergelangan kaki Can pada minit ke-12 perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga di Stamford Bridge yang menyaksikan Chelsea menang 1-0 sekali gus layak dengan agregat 2-1.

Insiden itu tidak dilihat pegawai perlawanan dan hanya dilihat menerusi rakaman video oleh panel khas, kelmarin.

Costa tidak akan dikenakan hukuman atas satu lagi dakwaan kekasaran ke atas Martin Skrtel yang berlaku tidak lama selepas insiden pertama.

“Diego Costa didakwa FA kerana bertindak ganas dalam insiden yang tidak disaksikan pegawai perlawanan, tetapi dapat dirakam menerusi video,” kata FA Inggeris dalam laman web rasmi mereka.

“Tuduhan itu berkaitan satu insiden membabitkan penyerang Chelsea terbabit dengan pemain Liverpool Emre Can pada minit ke-12 perlawanan separuh akhir kedua Piala Capital One di Stamford Bridge (Selasa, 27 Januari 2015).

“Selepas meneliti rakaman insiden membabitkan Costa dan seorang lagi pemain Liverpool Martin Skrtel, FA mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan lanjut.”

Costa diberi masa untuk menjawab tuduhan berkenaan.

Jika didapati bersalah, dia akan terlepas aksi Chelsea menentang Manchester City malam ini selain pertemuan dengan Aston Villa dan Everton. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 8:04 AM