PUTIN (berdiri kanan) berbincang dengan Julie mengenai MH17.
AFP

Sydney: Menteri Luar Australia berkata, Presiden Russia Vladimir Putin memberi kerjasama baik dan membina apabila diminta membantu membenarkan penyiasat mendapat akses ke kawasan pesawat Penerbangan MH17 milik Syarikat Penerbangan Malaysa (MAS) terhempas di Ukraine.

Julie Bishop berbincang dengan pemimpin Russia itu ketika Mesyuarat Asia-Eropah di Milan semalam, beberapa hari selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbot akan menyergah Putin berhubung tindakan menembak jatuh pesawat berkenaan di mesyuarat G20 bulan depan.

“Saya berbincang dengannya secara terperinci. Saya menyuarakan pandangan kami mengenai nahas itu yang turut menyebabkan beberapa rakyat Australia terbunuh.

“Saya meminta Putin menggunakan pengaruh Russia terhadap kumpulan pemberontak di timur Ukraine supaya membenarkan penyiasat kami memasuki kawasan itu.

“Dia memberitahu akan membantu dengan meminta pemberontak terbabit menyediakan jalan masuk,” kata Julie.

Menteri Luar Australia itu juga berkata, dia memberitahu pemimpin dunia bahawa Putin memberi kerjasama baik dan memberi tindak balas membina terhadap permintaannya.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu meletup di udara selepas ditembak pada 17 Julai lalu ketika terbang di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:02 AM