Seoul: Seorang pegawai yang terbabit dalam penyeliaan keselamatan di sebuah konsert membunuh diri beberapa jam selepas kejadian besi penghadang saluran udara runtuh mengakibatkan 16 maut di Korea Selatan.

Kematian pegawai kerajaan tempatan yang dikenali sebagai Oh, 37, itu diumumkan ketika polis di sini, menjalankan siasatan berkaitan kemalangan di konsert di Seongnam, kelmarin.

Saluran udara itu runtuh apabila tidak dapat menampung berat berlebihan mangsa yang berdiri beramai-ramai di atasnya untuk menyaksikan konsert berkenaan dengan lebih jelas.

Ia mengakibatkan mangsa terjatuh 62 kaki ke bahagian bawah tanah tempat letak kenderaan.

Rakaman video amatur diperoleh siaran televisyen YTN menunjukkan beberapa penonton berhimpun di sekitar kawasan itu dalam keadaan terkejut manakala kumpulan wanita K-Pop 4Minute terus membuat persembahan tanpa menyedari tragedi berlaku.

Jurucakap bantuan bencana Kim Nam-Jun berkata semalam, Oh adalah pekerja syarikat yang menaja konsert berkenaan dan dipercayai membunuh diri dengan terjun dari bangunan berhampiran tempat kejadian.

Oh ditemui mati beberapa jam selepas disoal polis berhubung kejadian itu, lapor YTN.

Menurut media, setakat ini polis sudah menyoal 15 saksi termasuk pegawai di portal berita Internet tempatan yang membiayai dan menganjur konsert terbabit.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:03 AM