Kuala Lumpur: Kerajaan yakin sasaran penurunan harga kereta sebanyak 20 peratus pada akhir 2017 boleh dicapai berikutan purata harga semua model dan varian kereta di negara ini telah turun sebanyak 12 peratus sejak 2013.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada 2013, purata harga kereta berkurangan sebanyak lima peratus dan tahun lalu, ia terus turun sebanyak tujuh peratus, memberi manfaat kepada 72.5 peratus pembeli.

“Perbandingan ini ialah antara harga atas jalan yang baru dan sebelumnya,” katanya pada sidang media pada taklimat perkembangan terkini Dasar Automotif Negara (NAP) 2014 di sini, semalam.

Mengenai NAP, beliau mengulangi bahawa objektif utama dasar itu adalah untuk mengubah Malaysia menjadi hab kenderaan cekap tenaga (EEV) Asean menjelang 2020.

“Objektif lain adalah membangunkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan dan teknologi berkaitan seperti kecekapan bahan api, bahan material ringan, telematik, perkakasan dan reka bentuk komponen,” katanya.

Mengenai contoh penurunan harga kereta, beliau berkata, Perodua mengurangkan harga model Myvi sebanyak 11 peratus, Proton sebanyak 13 peratus bagi Proton Saga dan Honda sebanyak 17 peratus bagi model ‘Jazz’. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:10 AM