Pengarah Dain Said pernah menghasilkan filem Dukun yang dikatakan dari kisah benar kes pembunuhan kejam dan penuh misteri dilakukan Mona Fandey pada 1993.

Jenayah itu sungguh menggerunkan apabila mayat mangsa yang dibunuh dikerat 18 bahagian. Misteri di sebalik pembunuhan dan wanita bernama Mona Fandey ini menarik minat Astro Shaw untuk mengangkatnya ke layar perak.

Bagaimanapun, apabila siap, filem lakonan Umie Aida, Namron, Faizal Hussein dan Adlin Aman Ramlie dengan bajet RM2.8 juta ini akhirnya terperap begitu saja apabila diharamkan untuk tayangan umum.

Sepatutnya ditayangkan akhir 2006, tetapi tidak diluluskan kerana mendapat bantahan daripada keluarga Mona Fandey. Walaupun produser menafikan ia diangkat dari kisah jenayah itu dan nama watak dalam filem itu juga berbeza, umum tahu ia diambil dari kisah Mona Fandey.

Hingga kini filem itu terperap begitu saja. Pada 14 November 2011 ada pihak memuat naik video dengan durasi lapan minit filem itu ke laman sosial hingga menarik minat orang ramai mahu menyaksikan keseluruhan filem ini. Ramai meluah rasa kesal apabila ia diharamkan.

Nasib Dukun tidak seburuk filem Fantasia arahan Aziz M Osman yang pernah mengalami nasib sama apabila versi asalnya diharamkan untuk tayangan pada 1991.

Bagaimanapun, pengharamannya ditarik balik pada 1994 selepas melalui proses suntingan semula dan diberi judul baru, Fantasi dan ditayangkan serentak di seluruh negara pada 13 Mac 1994.

Alasan pengharamannya juga berbeza dengan Dukun kerana Fantasia lebih kepada amalan mistik dan unsur songsang tetapi bukan kisah benar. ia mengisahkan dendam tercetus pada zaman purba apabila Dara lakonan Kuza menjadi mangsa Silbi (Mustafa Kamal), pengamal ilmu syaitan berusia ratusan tahun.

Silbi menjadi pengancam zaman berzaman dari zaman purba hingga ke zaman moden dan muncul setiap kali bulan purnama untuk memburu anak dara untuk dihisap darahnya bagi mengekalkan kemudaan dan ketampanan wajahnya.

Dara bersumpah menuntut bela dan memusnahkan Silbi yang turut membunuh suaminya, Teruna (Faizal). Untuk melaksanakan tugasnya, roh Dara meresap ke dalam tubuh anak dara dan memilih Nora (Erma Fatima), wartawan yang hidup di zaman moden.

Terbaru, pelakon dan pengarah Melissa Saila berdepan tentangan daripada waris Biduanita Negara, Saloma dan AR Tompel apabila menghasilkan supertele Saloma Biopic.

Ia papar kisah hidup Saloma dari sudut pandangan seniwati Mariani Ismail, adik Saloma yang juga ibu Melissa. Ia ditayangkan di Astro First Eksklusif sejak 28 Ogos lalu.

Supertele ini mula menjadi tumpuan apabila cucu Saloma, Arzanee Armalie mendakwa imej keluarganya tercalar kerana fakta cerita tidak tepat mengenai satu babak di dalamnya.

Katanya, filem itu seolah-olah memperbodohkan keturunan Saloma termasuk bapanya, Armalie Arman Ramli apabila paparkan watak tidak benar membabitkan penagih dadah.

Arzanee tidak keseorangan apabila waris AR Tompel bersatu membuat bantahan terhadap tayangan filem ini dalam satu majlis sidang media khas di Finas pada 9 Oktober lalu.

Dianggarkan 30 waris Allahyarham AR Tompel hadir, antaranya AR Badul, Amran Tompel, Adlin Aman Ramlie dan bekas isteri, Zaiton Ismail, Ruminah Sidek dan wakil peguam mereka, Azam & Co.

Mereka tidak puas hati apabila pengarah dan penulis skrip paparkan watak AR Tompel sebagai kejam. Ia membabitkan 29 babak dirasakan tidak benar dan fitnah terhadap arwah. Ada babak arwah sengaja diada-adakan, direka serta ditokok tambah.

Supertele Saloma dibahagi dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh. Ia menampilkan pelakon Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P Ramlee), Azhan Rani (AR Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).

Sehingga kini, bantahan itu tidak menjejaskan tayangannya kerana masih dapat disaksikan, malah mungkin mencatat sejarah sebagai tayangan paling lama sejak 28 Ogos lalu.

Ternyata kontroversi melanda menarik minat masyarakat untuk menonton Saloma Biopic kerana mahu melihat apa yang diperkatakan itu.

Malah, ramai memuji hasil kerja Melissa bukan saja kerana lakonan hebat Nabila Huda, malah disifatkan sebagai karya berani.

Mengangkat kisah hidup orang terkenal ke layar perak atau ke TV sememangnya satu risiko tinggi untuk berdepan bantahan daripada waris jika apa dipaparkan itu tidak disenangi. Lihatlah nasib menimpa filem Dukun.

Kalau mahu selamat, penulis skrip dan pengarah hendaklah menghasilkan karya bersih dan kalau ada sisi hitam, hendaklah diabaikan kerana menjaga maruah orang lain.

Tambah pula bagi masyarakat kita sangat sensitif dengan perkara ini hingga sering dikatakan, jangan buka aib orang kerana Allah akan membuka aib kita.

Sudah tentu warisnya tersinggung apabila ahli keluarga mereka digambarkan jahat walaupun realitinya memang begitu kerana ia dianggap memalukan.

Bagaimanapun apabila berkarya, kalau hanya sisi bersih dan baik dipaparkan, ia mungkin membuatkan jalan cerita kurang menarik. Sudah tentu unsur tokok tambah diperlukan untuk menjadikan satu-satu karya itu lebih menarik.

Lebih-lebih lagi elemen kontroversi dan sensasi memang menarik perhatian hingga elemen ini sama ada seks, lucah dan seksi digunakan sebagai pelaris.

Masyarakat kita juga belum terbuka apabila mengangkat tokoh sama ada yang masih hidup atau meninggal dunia, bimbang menyerlahkan sisi gelap tokoh itu.

Mungkin juga atas dasar ini, karyawan kita tidak berani mengangkat tokoh terkenal ke layar lebar. Kalau ada pun, hanya Tanda Putera mengenai Perdana Menteri kedua, Tun Razak. Yang lain sekadar di pentas teater atau kaca TV.

Berbeza dengan karyawan Indonesia apabila filem Soekarno mengenai Presiden pertama Indonesia, kini ditayangkan di pawagam di sini dan sebelum itu, Hijrah Cinta mengangkat tokoh agama, Ustaz Jeffry Al-Buchary atau Ustaz Uje.

Hakikatnya, setiap orang mempunyai persepsi berbeza mengenai seseorang, termasuk tokoh politik, pemimpin negara, malah tokoh agama.

Mungkin dari kaca mata Mariani, kehidupan Saloma begitu, tetapi mungkin juga berbeza kalau dari sudut pandangan kawan baiknya, Datuk Rosnani Jamil.

Sebagai waris, wajar mereka tersinggung apabila keluarga mereka digambarkan begitu tetapi sebagai pengkarya, elemen itu penting bagi mereka.

Ada juga yang sengaja mewujudkan elemen sensasi ini untuk membakar perasaan umat Islam di seluruh dunia sebagaimana dilakukan karyawan Barat. Contoh terbaru, filem Dracula Untold yang ditayangkan di pawagam sejak 2 Oktober lalu.

Ia turut mendapat bantahan umat Islam apabila babak perjanjian antara Sultan Turki dengan Vlad III pada satu surat terpampang kalimah Allah. Malah,

Sultan Mehmud digambarkan sebagai zalim dan kejam apabila memaksa kanak-kanak menjadi tentera.

Walaupun ada bantahan daripada umat Islam, filem itu masih bebas ditayangkan di negara kita. Ia jelas sengaja dipaparkan untuk membakar perasaan umat Islam, sekali gus sebagai provokasi.

Ia jelas dilakukan dengan sengaja sebagaimana dilakukan karyawan Barat sebelum ini hingga ada filem menghina Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:03 AM