KETUA Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen
SEBAHAGIAN artis yang hadir dari kiri, Joey Rahman, Ryzal Jaafar dan Talha Harith.
Oleh Rudy Imran Shamsudin

Industri penyiaran tempatan berdepan cabaran paling besar apabila jumlah tontonan dan pengiklanan menurun susulan perkembangan media sosial.

Segala-galanya di hujung jari dan orang ramai tidak lagi menjadikan menonton televisyen sebagai sebahagian dari gaya hidup. Perubahan itu turut mempengaruhi pengiklan yang kini mempunyai pilihan mempromosikan jenama.

Situasi itu bagaimanapun tidak menghalang rangkaian televisyen Media Prima Berhad iaitu TV3, TV9, 8TV dan TV9 untuk terus memenangi hati penonton setia dan wakil pengiklan mereka dengan menyediakan beberapa rancangan menarik tahun depan.

Lebih daripada itu, perkembangan teknologi maklumut dan media sosial turut dieksploitasi bagi memastikan apa yang disiarkan dapat diintegrasikan dengan gaya hidup terbaru masyarakat tempatan.

Lebih penting, rangkaian televisyen Media Prima turut melakukan strategi komunikasi pemasaran bersepadunya bagi mempertahankan kedudukan sebagai syarikat nombor satu sektor penyiaran.

Ditemui di majlis pra tonton program rangkaian televisyen Media Prima, Ketua Pegawai Operasi (COO) Rangkaian Televisyen Media Prima, Seelan Paul menjelaskan, pihaknya merangka beberapa perancangan di mana ada rancangan yang diterbitkan turut diintegrasikan dengan sosial media.

"Ada rancangan yang kami terbitkan bermula dengan media sosial dan kemudian baru diangkat menjadi rancangan televisyen. Ia sesuatu yang baru dan menarik.

"Kami harap usaha terbaru ini akan menambah minat penonton dan pengiklan yang mahu bekerjasama dengan Media Prima," katanya.

Percubaan pertama melalui Traveling Beruang mengenai budak perempuan yang menghidap penyakit kronik teringin untuk melihat dunia.

Ia mustahil untuk dilaksanakan, tetapi dia menghantar patung beruangnya untuk menjelajah ke serata dunia bagi pihaknya. Program akan memaparkan mereka yang sudi membawa beruangnya mengelilingi dunia.

Kata Seelan, ia bermula dengan laman sosial seperti Instagram, di mana mereka yang sudi membawa beruang itu akan merakam gambar mereka dan dimuat naik ke laman sosial Instagram dengan sedikit latar cerita.

"Himpunan cerita itu akan dijadikan drama yang akan membolehkan budak perempuan terbabit melihat dunia.

"Integrasi dilakukan bukan setakat peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa menepati konsep teknologi maya yang tiada sempadan," katanya.

MPB juga memberi kelebihan kepada lapan juta pengguna Tonton apabila ada antara drama terbabit disiarkan seminggu lebih awal di laman sesawang itu.

Menilai sudut itu, jika ada penaja mahu bekerjasama, mereka akan menerima pendedahan lebih besar apabila jenama mereka melangkau ke seluruh dunia.

"Dalam keadaan sekarang, sebagai syarikat penyiaran nombor satu negara, kami harus melakukan perkara jauh lebih besar demi penonton dan pengiklan," kata Seelan.

Sementara itu Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin akui cabaran besar terpaksa didepani industri penyiaran apabila tahun ini Malaysia ditimpa banyak peristiwa hitam, terutama membabitkan insiden MH370 dan MH17.

Katanya, minat penonton juga berubah kepada media sosial tetapi ia bukan penghalang untuk pihaknya memberi yang terbaik kepada penonton. Malah, mutu penerbitan akan dipertingkatkan lagi dengan menampilkan sesuatu yang baru dan segar.

Drama bersiri Keluarga Pontimau mengisahkan keluarga pontianak dan harimau jadian bakal menampilkan sesuatu berbeza apabila dihasil­kan menggunakan teknologi komputer dan tiga dimensi. Begitu juga animasi terbaru, Ejen Ali.

Selain produksi tempatan, Media Prima turut membeli francais rancangan dari luar dan antara yang diumumkan di majlis pratonton terbabit, Ejector Seat yang akan dihasilkan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Malaysia.

Pengurus Besar Kumpulan ntv7/8TV, Airin Zainul akui program francais mempunyai risiko tinggi kerana lesennya dibeli dengan harga tinggi. Jika gagal menarik minat penonton, pihaknya akan mengalami kerugian.

Katanya, sebelum pembelian dibuat, Ejector Seat mempunyai pengikutnya di beberapa negara Eropah. Konsepnya sangat menarik dan sesuatu yang baru di rantau ini.

"Biasanya program 'game show' memang diminati, apatah lagi kalau membabitkan kuiz. Dalam program ini pembabitan penaja dan orang ramai juga dialu-alukan dan ia boleh dilaksanakan secara langsung sewaktu permainan berjalan. Ia sangat interaktif dan yakin itu yang penonton mahupun," katanya.

Bertemakan Mad Scientist, majlis pratonton rancangan menarik di rangkaian televisyen Media Prima berlangsung selama empat hari menghimpunkan golongan sasaran berbeza. Ia dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar.

Selain penerangan program, turut diserikan dengan persembahan dari bintang cilik yang bakatnya dicungkil menerusi program Idola Kecil Ultra terbitan TV9 dan bintang sensasi terbaru YouTube, Elizabeth Tan.

Turut hadir beberapa artis popular yang sering menghiasi drama disiarkan rangkaian stesen televisyen Media Prima seperti Zul Arifin, Joey Rahman, Ryzal Jaafar, Talha Harith dan Puteri Cici.

Media Prima mengetuai semua rangkaian televisyen di Malaysia dan menjangkau lebih 24 juta penonton, sama ada membabitkan terestrial mahupun satelit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:04 AM