NAZMI (kanan) melakukan bentesan terhadap pemain Pulau Pinang.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Shah Alam: Beberapa jam selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Mohamed Azmin Ali dan rombakan pengurusan di peringkat skuad Liga Super, Merah Kuning tampil garang apabila mencatatkan kemenangan dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Suntikan semangat dilontarkan Azmin selain pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan Selangor Amirudin Shari dan Noor Hisham Mohd Ghouth masing-masing sebagai pengurus dan penolong pengurus pasukan bagi membantu jurulatih Mehmet Durakovic nyata memberikan kesan apabila mereka mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan Pulau Pinang 3-1.

Ia kemenangan sulung Selangor dalam empat aksi persahabatan tahun ini dengan penyerang utama dari Brazil, Guilherme De Paula Lucrecio turut meledak gol pertama untuk Merah Kuning menerusi jaringan minit ke-43 dengan dua lagi gol hasil sumbangan Andik Vermansah (m-25) dan Leandro Dos Santos (m-32) untuk menafikan jaringan Aznee Taib bagi Pulau Pinang pada minit ke-12.

“Hari ini (malam kelmarin) boleh dikatakan kelahiran skuad Selangor untuk musim 2015. Apa yang berlaku sebelum ini, kita lupakan dan anggap ia satu sejarah. Ia bermula apabila ucapan Presiden FAS memberikan suntikan semangat baru kepada pemain.

“Perlawanan ini untuk penyokong sepenuhnya,” kata Noor Hisham yang turut berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 5,000 penyokong kedua-dua pasukan.

Menurutnya, Azmin mengharapkan penyatuan antara mereka bermula di peringkat pengurusan hingga pemain dan apabila ia berlaku, Selangor akan menjadi pasukan kuat serta tidak mustahil menjulang piala yang amat dinantikan selama ini.

Bekas Presiden PKNS FC itu dilihat akan memainkan peranan lebih besar di bangku simpanan dengan Amirudin pastinya terikat jadual padat dengan tugasnya sebagai exco kerajaan negeri.

“Ia bukan perkara baru, saya sudah biasa memberikan motivasi dan semangat kepada pemain. Saya anggap ini cabaran baru di kerusi berlainan,” katanya yang melonjakkan kejayaan PKNS FC muncul juara Liga Perdana pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:24 AM