Oleh Erywan Norshal


Sejak diperkenalkan pada 1996, sejumlah 2.5 juta unit kereta segmen B menerusi model Mazda2 berada di jalan raya dan ini menjadikannya model terpenting bagi syarikat automotif Mazda Motor Corporation.

Kini ia menjadi kebanggaan syarikat yang berpusat di negara matahari terbit itu selepas hadirnya generasi terbaru Mazda2 dengan imej bergaya serta dilengkapi teknologi terbaru sepenuhnya.

Kehadirannya bakal memberi saingan sengit dalam kereta segmen B lain, namun jika dilihat spesifikasinya, Mazda2 tampil dengan pakej lebih menarik yang jelas menerapkan genetik terkini menggabungkan rekaan 'KODO-Soul of Motion' dan rangkaian kuasa teknologi Skyactiv.

Ia dilengkapi enjin petrol Skyactiv-G bersesaran 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum mencecah 114 kuasa kuda (hp) dengan tork setinggi 148 Nm untuk membawa bebannya kurang 1,065 kilogram.

Kuasa itu disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik enam kelajuan Skyactiv-Drive, selain dilengkapi butang sport dan padel penukaran gear di belakang stereng untuk memberi pemanduan lincah.

Casis dan kerangkanya turut menggunakan teknologi sama untuk meningkatkan ciri keselamatan serta memberi pengendalian terbaik.

Menjengah ke ruang kabinnya, ia tidak terlalu menampilkan rekaan futuristik tetapi sangat kemas dan berciri mewah.

Tempat duduknya saduran kulit, manakala papan pemukanya dilengkapi sistem MZD Connect iaitu skrin LCD bersaiz tujuh inci untuk mengawal navigasi, radio dan paparan maklumat lain.

Lebih menarik, ia mempunyai Paparan Pemanduan Aktif di bahagian depan papan pemuka pemandu untuk memaparkan maklumat seperti kelajuan semasa dan arah navigasi.

Ia turut dipadankan sistem audio enam unit pembesar suara, stereng teleskopik, kamera undur, butang penghidup enjin, sistem pendingin hawa automatik, sistem kunci pintar dan i-Stop.

Biarpun kereta kompak, ia masih dilengkapi dua beg udara keselamatan, Kawalan Kestabilan Dinamik dan Bantuan Brek, selain keempat-empat rodanya menggunakan brek cakera.

Sementera itu, Pengarah Eksekutif Bermaz Motor Sdn Bhd, Datuk Seri Ben Yeoh berkata, kereta itu diimport dari Thailand dan ditawarkan dalam dua varian iaitu model sedan dan hatchback.

"Model ini dilengkapi spesifikasi terbaik berbanding kategori sama yang lain di negara ini. Buat masa ini hanya 200 unit Mazda2 dibawa masuk untuk fasa pertama bagi pasaran tempatan dari Thailand," katanya selepas pelancaran Mazda2 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kedua-dua varian itu dijual pada RM87,956 atas jalan dan turut ditawarkan jaminan tiga tahun atau 100,000km.

Spesifikasi Mazda2

- Enjin: Skyactiv 1.5 liter

- Kuasa maksimum: 114 hp pada 6,000 rpm

- Tork maksimum: 148 Nm pada 4,000 rpm

- Transmisi: Enam kelajuan automatik Skyactiv-Drive

- Kapasiti tangki petrol: 44 liter (minimum RON95)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:02 AM