London: Swansea mengikat bekas pemain tengah skuad bawah 21 England Jack Cork (gambar) daripada Southampton dengan nilai perindahan tidak dinyatakan.

Cork bersetuju dengan kontrak tiga setengah tahun tetapi perjanjian dilengkapkan itu sudah terlalu lewat buat dirinya mendapatkan kelayakan bermain kembali ke kelab lamanya apabila Swansea bertandang ke St Mary untuk perlawanan Liga Perdana malam ini.

Bekas pelatih Chelsea berusia 25 tahun itu yang bermain lebih 100 kali selepas menyertai Southampton pada 2011, hanya beraksi lima perlawanan liga sejak Ronald Koeman dilantik sebagai pengurus Saints tahun lalu.

Cork bakal menjadi ejen percuma apabila kontraknya berakhir hujung musim dan Southampton bersedia memberi kebenaran kepadanya meninggalkan kelab itu dengan yuran perpindahan dilaporkan £3 juta pound (RM15 juta).

“Saya sedikit terkejut dia boleh dilepaskan. Saya faham dengan tawaran kontrak barunya di Southampton tetapi enggan menandatanganinya,” kata pengurus Swansea, Garry Monk.

“Dia mahu datang ke sini dan kami menunjukkan hasrat tinggi menandatanganinya jadi ia resipi yang bagus. Dia mempunyai pengalaman luas di peringkat ini.

“Dia memiliki latar belakang bersama Chelsea jadi pada tahap umur terbaik untuk dibentuk sebagai pemain tengah berkaliber tinggi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:06 AM