ABRAHAM
Agensi

Jakarta: Serangan ke atas Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) berterusan dengan ketuanya sekali lagi cuba diaibkan melalui gambar tidak senonoh.

Semalam beredar gambar mirip Abraham Samad bersama seorang wanita tidak dikenali berbaring di atas katil melalui Twitter.

Pemilik akaun @polisipatung dipercayai individu pertama menyebarkan gambar berkenaan.

Melalui gambar yang tidak dapat dipastikan keasliannya itu, Abraham - Ketua KPK - didakwa menjalin hubungan sulit dengan wanita yang cuma didedahkan identitinya sebagai FL.

Kata penyebar gambar itu, Abraham dan FL kerap dilihat bersama di sebuah apartmen.

Malah, ada pihak mendakwa wanita terbabit adalah isteri kedua Abraham.

Politik di Indonesia memanas ketika ini apabila berlaku perseteruan antara polis dan KPK selepas agensi antirasuah Indonesia itu ‘menggagalkan’ cubaan Presiden Jokowi melantik ketua polis baru.

Sejak KPK menamakan calon itu, Budi Gunawan, sebagai suspek siasatan kes rasuah, polis bertindak balas dengan menangkap beberapa pegawai atasan agensi berkenaan.

Serangan peribadi terhadap Abraham juga dilakukan sejurus selepas itu.

Sebelum ini Abraham turut dikatakan menjalin hubungan sulit dengan juara pertandingan Putri Indonesia.

Menurut sumber, FL adalah wanita berasal dari Pontianak dan memiliki wang berjumlah Rp4 miliar (RM1.14 juta) milik Abraham.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:18 AM