CERVISAFE Kit menjadikan pengesanan awal kanser serviks jadi lebih mudah.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Menurut Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), kanser serviks adalah kanser kedua membunuh wanita di negara ini selepas kanser payudara.

NCSM juga melaporkan lebih 11,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks atau pangkal rahim setiap tahun terutama dalam kalangan wanita muda berusia lewat 30-an.

Situasi ini amat membimbangkan kerana setiap tahun, lebih 5,000 penghidap kanser serviks mening­gal dunia berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak ke peringkat akhir.

Di Malaysia, menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, pencegahan dilakukan melalui suntikan vaksin Virus Human Papil­loma (HPV) secara percuma untuk remaja berusia 13 hingga 18 tahun dan kemudian ujian Pap smear yang disyorkan kepada semua wanita yang sudah mendirikan rumah tangga dan aktif secara seksual.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran me­ngenai bahaya kanser serviks, masih ramai wanita tidak mahu membuat pemeriksaan. Berdasarkan kajian Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM), laporan tahunan Kementerian Kesihatan 2011 menunjukkan hanya 21 peratus daripada keseluruhan wanita yang layak menjalani ujian Pap smear tampil membuat ujian saringan.

Malu, takut dan kurang pemahaman sering dijadikan alasan bagi wanita menjalani ujian ini. Ramai pula beranggapan pemeriksaan ini menyakitkan sehingga kebanyakan mereka tidak mengendahkannya. Ada pula berasa mereka sihat dan takut sekiranya selepas ujian mereka disahkan menghidap kanser.

Atas alasan ini dan bagi menarik lebih ramai wanita menjalani ujian pemeriksaan kanser pangkal rahim, DNA Research Centre (M) Sdn Bhd memperkenalkan Cervisafe Kit iaitu alat yang sama fungsinya seperti ujian Pap smear untuk mengesan kehadiran virus HPV lebih awal. Cervisafe diletakkan di dalam kumpulan peranti iaitu kelas terendah dalam peranti perubatan setara berus gigi dan putik kapas.

Menurut Pengarah LaDIY Healthcare, Romli Ishak, penyelidikan DNA Research Centre (M) Sdn Bhd menunjukkan perlunya satu alat pengesanan awal kanser servik yang lebih mudah, ringkas dan tidak menyakit­kan. Paling penting, wanita boleh melakukannya sendiri di rumah tanpa bantuan dok­tor.

"Sejak 60 tahun, ujian Pap smear diperkenalkan iaitu saringan untuk mengesan keadaan prakanser (sebelum terjadi) jika terdapat sel serviks luar biasa yang boleh mengakibatkan kanser. Prosedur ini mudah dengan mengambil sedikit sampel daripada serviks dan dihantar ke makmal untuk kajian. Walaupun mudah, masih ramai wanita tidak mahu melakukannya disebabkan kekangan tertentu. Ada yang malu, takut dan tidak tahu mengenai bahaya kanser serviks menyebabkan mereka mengabaikannya," kata­nya yang turut berkerjasama dengan CaRE diketuai Pe­ngarah CaRE UPM, Prof Latifah Abd Latif menerusi kajian ke atas produk dan pengguna.

Menariknya, Cervisafe Kit adalah alat pengambilan sendiri sampel serviks untuk mengesan perubahan sel dan kehadiran virus HPV. Ia direka khas mengikut kesesuaian tubuh wanita yang menjadikan pengambilan sampel secara sendiri lebih praktikal dan selesa.

"Tanpa kehadiran doktor atau pakar perubatan, wanita lebih bersedia dan tidak malu menjalani ujian tanpa kehadiran orang lain. Ini sudah tentu membuang tanggapan mengenai pemeriksaan yang memerlukan mereka berada di hospital atau klinik dalam tempoh lama. Dengan kit ini, wanita boleh membuat ujian sendiri di rumah dan sampel akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Bentuknya yang lebih kecil, menggunakan alat pemegang getah serta kelopak getah, ternyata sangat lembut dan halus sehingga tidak menyakitkan. Paling penting ujian dijalankan dua dalam satu iaitu membabitkan ujian HPV DNA dan ujian Pap sehingga ia mampu mengesan 100 peratus keganjilan sel pada serviks.

"Untuk itu sekiranya didapati ada virus HPV, rawatan susulan akan segera dijalankan terutama mening­katkan imunisasi sistem badan menerusi pengambilan makanan tambahan serta gaya hidup sihat yang perlu diamalkan," kata Romli.

Keputusan diperoleh selepas 7 hari

Bagi memberi peluang kepada wanita yang malu dan takut menjalani ujian pengesanan awal kanser serviks di klinik atau hospital, LaDIY Healthcare, anak syarikat di bawah DNA Resources Centre bekerjasama dengan Al Ansar Health dengan me­nyediakan Cervisafe Kit di semua 15 cawangan di seluruh negara pada harga RM299.

Selain produk, perkhidmatan disediakan termasuk kakitangan terlatih yang akan membimbing dan memberi tunjuk ajar me­ngenai cara penggunaan yang betul.

"Selepas mereka membuat ujian sama ada di Al Ansar Health atau di rumah, bahan ujian perlu dibawa ke Al Ansar Health sebelum dihantar ke DNA Resources Centre untuk ujian makmal. Keputusan ujian diperoleh selepas tujuh hari bekerja dan jika positif, Al Ansar Health akan memberikan nasihat dari segi pemeriksaan kesihatan serta cara meningkatkan imunisasi badan menerusi pengambilan makanan tambahan," kata Pengarah Eksekutif Al Ansar Health, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin.

Cara menggunakan Cervisafe:

-Keluarkan Cervisafe daripada pembungkus melalui bahagian pemegang.

-Pilih posisi selesa dan sesuai untuk anda, misalnya berbaring sambil membeng­kokkan lutut dan membuka pangkal paha.

-Berdiri dengan menaikkan sebelah kaki di atas kerusi untuk membuka pangkal paha.

-Dalam keadaan selesa, masukkan kit perlahan-lahan sehingga penunjuk sampai ke pintu masuk faraj.

-Tolak tombol sehingga anda merasai sentuhan seakan-akan halangan. Kemudian putarkan tombol lima kali mengikut arah jam.

-Pegang tombol dan tarik perlahan-lahan.

-Keluarkan Cervisafe sepenuhnya daripada faraj.

-Tarik tombol sehingga tanda keselamatan kelihatan.

-Buka penutup botol.

-Halakan bahagian kepala ke mulut botol. Tolak tombol supaya kelopak jatuh ke dalamnya. Ketatkan penutup dan pastikan kelopak teng­gelam dalam cecair.

-Masukkan botol dalam beg disediakan.

-Masukkan borang disediakan, botol dan alat ke dalam kotak, tutup rapat.

-Letakkan sampel di semua cawangan Al Ansar Health di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:13 AM