FOTO Nor Amalina Alias
Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Seorang wanita berusia 31 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih sejam selepas kakinya tersangkut di dalam lubang tandas di rumahnya Kampung Gajah Mati, Alor Bakat, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Nur itu dikatakan sedang mengambil wuduk sebelum tergelincir sehingga kaki kirinya termasuk dan tersangkut dalam lubang tandas sedalam 0.75 meter.

Pegawai Bomba Kanan II Wan Asri Wan Yaakob dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh berkata, pihaknya mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kaki mangsa.

Katanya, masa lama diambil kerana pihaknya terpaksa memusnahkan mangkuk tandas itu selain perlu berhati-hati untuk mengelakkan mangsa tercedera.

"Kaki mangsa berjaya dikeluarkan sejam kemudian dan mangsa yang mengalami luka kecil di bahagian kaki dan tumit dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 11:55 AM