SAARVINDRAN sudah menandatangani kontrak bersama Pahang.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Berbaki beberapa hari sebelum sepak mula Liga Super, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bingung dengan situasi dialami bekas pemain Harimau Muda A, D Saarvindran yang dilapor sudah menandatangani kontrak bersama Pahang musim ini.

Pemain sayap berkenaan sepatutnya melaporkan diri dengan FAS bersama dua lagi bekas rakan sepasukan, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Saiful Ridzuwan Selamat apabila dilepaskan FAM, namun tidak berbuat demikian.

“Hingga petang ini (semalam) tiada sebarang kelab memohon Sijil Perpindahan Negeri (SPN) yang dikeluarkan FAS sebelum FAM mengeluarkan lesen kepada pemain. Akibatnya kami tidak tahu pasukan yang akan diwakilinya musim ini.

“Dua bekas pemain Harimau Muda A, Azrif dan Saiful bersemuka dengan FAS seperti diarah FAM dan menandatangani kontrak bersama Merah Kuning. Jika benar Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sudah mengikat Saarvindran, kita harap PBNP dapat berhubung FAS bagi berbincang mengenai statusnya dan pampasan ,” kata Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim.

Isu Saarvindran kes ketiga membabitkan bekas pemain Harimau Muda A, Gary Steven Robbat (Kedah-Johor DT) dan Ferris Daniel Mat Nasir (Kelantan - FELDA United)

FAS masih mempunyai kekosongan seorang pemain untuk musim 2015 selepas mendaftarkan 25 pemain dan jurulatih Mehmet Durakovic difahamkan turut mengalu-alukan kehadiran Saarvindran andai mahu bersama Merah Kuning.

Bagaimanapun Rosman menjelaskan pihaknya masih belum berhasrat memanjangkan perkara itu secara rasmi kepada FAM dan hanya memaklumkan secara lisan kepada badan induk bola sepak negara itu.

“Kami mahu cari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan kariernya dan negara. Ia perlu dilakukan dengan segera agar dia dapat beraksi,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 5:54 AM