Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penyerang kebangsaan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri berharap dapat memberikan sumbangan lebih bermakna kepada Negeri Sembilan (NS) Matrix pada saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirainya 6 Februari ini.

Selepas sering menjadi pemain gantian ketika bersama skuad Kedah musim lalu, pemain berpengalaman berusia 27 tahun itu berharap namanya tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan Hoben Jang Hoben.

Dia yang sering dihantui masalah kecederaan mengaku sudah berada di tahap terbaik untuk memberikan persembahan cemerlang sekali gus membantu Negeri Sembilan melakar kejayaan dalam Liga Perdana.

“Saya lega kerana masalah kecederaan dialami sebelum ini sudah pulih dan yakin dapat memberikan aksi terbaik sepanjang saingan musim ini.

“Biarpun kedudukan dalam barisan utama menjadi hak ketua jurulatih K Devan, namun harap saya dapat diturunkan sekerap mungkin untuk memberikan sumbangan terbaik demi membantu pasukan,” katanya.

Menurut Khyril Muhymeen, kehadiran beberapa pemain berpengalaman seperti Rezal Zambry Yahya, Ahmad Fauzi Saari, Rudie Ramli, Mohd Helmi Eliza Alias dan Mohd Fazliata Taib serta pemain import Francis Forkey Doe dan Bruno Sebastian Martelotto menarik minatnya untuk menabur bakti bersama Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 5:58 AM