CHONG Wei
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempercepatkan panel pendengaran doping membabitkan Datuk Lee Chong Wei.

Ia diakui sendiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika bertemu Khairy pada Majlis Penyampaian Hadiah Kopiko Purple League di Sports Arena Sentosa kelmarin.

“Menteri memberitahu saya agar mempercepatkan perbicaraan ini dan saya menerima pandangannya,” katanya.

Bagaimanapun, Norza memberitahu setakat ini belum ada tarikh dan tempat muktamad di mana perbicaraan itu dilangsungkan.

“Saya setuju dengan pendapatnya, perkara ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana selepas ini pelbagai kejohanan besar berlangsung.

“Chong Wei sudah terlepas aksi Seluruh England 2015. Kita harap Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 dia boleh bertanding,” katanya.

Norza berkata, selain beberapa kejohanan utama, perbicaraan itu harus segera diadakan kerana bermula Mei, semua pemain akan berlumba-lumba mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Maklumat terbaru sebelum ini menyatakan Panel Perbicaraan Doping Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) itu akan diadakan minggu depan.

Ikon badminton negara itu didapati positif menggunakan bahan terlarang dexametason ketika beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

Chong Wei minggu lalu memberitahu BBC dia mungkin bersara andai dikenakan hukuman gantung dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:06 AM