Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David meraikan kejayaan mencipta rekod dunia dengan berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Cleveland Classic 2015 awal pagi semalam.

Nicol yang mencatat rekod dunia berada di ranking pemain nombor satu dalam tempoh 106 bulan, berjaya mengalahkan pemain Mesir, Nour El Tayeb 11-3, 11-6, 11-8.

“Menjadi pemain nombor satu dunia sesuatu yang anda perlu pertahankan setiap hari.

“Bagi saya hanya aksi pada kejohanan, yang diraih selebihnya adalah satu bonus,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mula meraih gelaran nombor satu dunia pada Januari 2006 dan berjaya mengenepikan rekod Susan Devoy dari New Zealand yang sebelum ini memegang takhta selama 105 bulan.

Menantinya pada saingan separuh akhir awal pagi ini ialah seorang lagi wakil dari Mesir, Omneya Abdel Kawy yang sebelum itu mengalahkan Annie Au dari Hong Kong 11-8, 11-8, 11-5.

Nicol dalam usaha untuk memburu gelaran pertama tahun ini dan cuba mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu selepas mengalahkan Annie di final 13-11, 11-5, 11-6.

“Kunci utama kemenangan saya adalah menggunakan strategi berbeza ke atas pemain berlainan,” katanya selepas perlawanan tamat semalam.

Jika berjaya mara final, dia bakal berdepan Laura Massaro dari England atau Raneem El Welily (Mesir).

Laura yang juga pilihan kedua mara ke separuh akhir selepas mengalahkan seorang lagi wakil negara, Low Wee Wern 7-11, 11-5, 11-5, 13-11.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:13 AM