Milan: Juventus mensia-siakan peluang menjarakkan diri kepada sembilan mata di depan pencabar kejuaraan, AS Roma ketika Napoli semakin menghampiri tangga kedua manakala AC Milan kembali menemui rentak kemenangan pada aksi Serie A, kelmarin.

Pada hari yang menyaksikan beberapa kejutan, Juve gagal menggunakan kesempatan selepas Roma seri kali keempat berturut-turut dan juara bertahan itu terpaksa berpuas hati dengan seri tanpa jaringan di Stadium Friuli yang menyaksikan Udinese menamatkan rentetan kalah enam perlawanan berturut-turut di tangan kelab gergasi Turin itu.

Juve kini tujuh mata di depan Roma, namun jurulatih Massimiliano Allegri mengakui mereka bernasib baik pulang dengan satu mata.

“Pada babak pertama kami bermain teruk, ada peningkatan pada babak kedua, tapi ia tidak mudah kerana Udinese lebih banyak memberi tekanan,” kata Allegri.

“Ia keputusan yang adil kerana kami juga mungkin kalah perlawanan ini.”

Pada perlawanan awal pagi semalam, penyerang pinjaman Roma, Mattia Destro melakukan penampilan sulung buat AC Milan ketika pasukan bermasalah kendalian Filippo Inzaghi itu menundukkan Parma 3-1, sekali gus menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa menang.

Jeremy Menez menyumbat dua gol untuk tuan rumah termasuk penalti pada babak pertama sebelum mencipta peluang buat Cristian Zaccardo menjaringkan gol ketiga Milan pada minit ke-76. Bekas pemain Milan, Antonio Nocerino menyumbang gol tunggal Parma pada minit ke-24.

Milan melonjak empat anak tangga ke tangga kelapan, 21 mata di belakang Juventus serta 10 mata berbanding Napoli di tangga ketiga, tempat terakhir ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:17 AM