NEYMAR (kiri) melepasi kawalan pemain Villarreal di Nou Camp, semalam.
AFP

Madrid: Barcelona kembali satu mata di belakang pendahulu La Liga Sepanyol, Real Madrid apabila mereka bangkit dua kali sebelum mengalahkan Villarreal 3-2 pada perlawanan menarik, kelmarin.

Pemain pinjaman dari Real, Denis Cheryshev meletakkan Villarreal di depan bertentangan dengan arus perlawanan selepas setengah jam, namun Neymar menyamakan kedudukan sebaik sebelum rehat.

Tempoh empat minit awal babak kedua menyaksikan tiga gol apabila Luciano Vietto kembali meletakkan Villarreal di depan, namun Rafinha pantas menyamakan kedudukan sebelum Lionel Messi menyumbat gol kemenangan dari penjuru kotak penalti.

Kemenangan itu membolehkan Barca kembali tiga mata di depan pasukan tangga ketiga Atletico Madrid, namun Real boleh mendahului empat mata semula apabila mereka menanti kunjungan Sevilla, awal pagi Khamis ini.

“Bagi kami amat menggembirakan mempunyai pemain yang boleh mengubah perlawanan dan mereka amat istimewa,” kata bos Barca, Luis Enrique mengenai Messi dan Neymar, yang kini menyumbat 17 gol antara mereka dalam tujuh perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, bos Villarreal, Marcelino kesal dengan kegagalan pasukannya menekan Barca dan tidak mendahului dalam tempoh lebih lama.

“Kami bermain perlawanan hebat dan bersaing dengan mereka menggunakan kekuatan sendiri. Gol yang mereka jaringkan 30 saat sebelum rehat membunuh kami. Kemudian dalam tempoh dua minit selepas mendahului 2-1 mereka menjaringkan dua gol.

“Itulah Barca. Mereka memiliki pemain terbaik dunia di bahagian serangan dan pasti menghukum kesilapan anda.”

Terdahulu, kelab dari Andalusia, Sevilla membalas dendam kekalahan kepada Espanyol pada Piala Raja Sepanyol pertengahan minggu lalu apabila bangkit untuk melonjak mengatasi Valencia di tangga keempat dengan kemenangan 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:18 AM