MILKCOW
AISKRIM teh tarik (tengah) menjadi tarikan di kafe Inside Scoop, Bangsar, Kuala Lumpur.
MILKCOW menyediakan aiskrim yang dibuat daripada susu organik dari Itali.
BLOK sarang madu dan macaron antara hiasan makanan yang boleh dinikmati bersama aiskrim Milkcow.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Semuanya bermula dengan paparan foto di sebuah laman web. Ia kemudian berlarutan kepada perancangan 'suka-suka' sesama teman sebelum akhirnya kumpulan 'Jom Makan Eskrem' ditubuhkan pertengahan bulan lalu.

Niat asal hanya untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama berikutan seorang ahlinya menetap di Melbourne, Australia dan sesekali pulang bercuti di Malaysia.

Namun apa yang dipaparkan dalam lawan web http://says.com/my/ itu membuka selera ahlinya yang rata-rata menggemari aiskrim tanpa mengira jenis, harga, bentuk dan jenama.

Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan kemunculan pelbagai kafe kopi yang unik dan lebih bercirikan personal atau peribadi.

Kini hadir pula beberapa kafe aiskrim dengan konsep serupa yang dikatakan lebih santai dan seronok untuk dikunjungi berbanding rangkaian kedai aiskrim popular yang padat dengan pengunjung.

Selain itu, kafe aiskrim seperti ini juga dikenali sebagai kafe aiskrim artisan disifatkan lokasi berkumpulnya sang hipster dan mereka yang gemarkan fotografi makanan khususnya menggunakan aplikasi Instagram.

Ruang dalaman kafe yang ringkas dan moden (tetapi, kebanyakannya berkapasiti kecil) membuatkan kafe aiskrim artisan ini menjadi pilihan golongan muda yang mahukan pengalaman berbeza.

Dipelopori oleh kreativiti dan kemahiran masakan beberapa individu yang berminat dalam bidang keusahawanan, fenomena kafe aiskrim artisan ini mula mendapat tempat dalam hati masyarakat Malaysia.

Selain itu, fenomena aiskrim antarabangsa terutama dari Korea Selatan mencambahkan lagi kewujudan kafe artisan seperti yang dilihat ketika ini.

Berpaksikan kepada pelbagai pilihan dan meraih pengalaman gastronomi baru seperti itu yang membuatkan kumpulan 'Jom Makan Eskrem' ini menjelajah sekitar Lembah Klang bagi melihat dan merasai sendiri apa sebenarnya aiskrim artisan itu.

Bagaimanapun, daripada lima lokasi yang dipilih, hanya tiga yang berjaya dikunjungi dek kekangan masa, kesesakan lalu lintas, kesukaran mendapatkan parkir dan cuaca yang tidak mengizinkan.

Lokasi pertama ialah di Inside Scoop yang terletak di Jalan Telawi 3, Bangsar, Kuala Lumpur. Apa yang menarik perhatian kumpulan ini ialah perisa aiskrim bercita rasa tempatan seperti teh tarik.

Ujar seorang ahli kumpulan itu, Durratun Nashihin Rosli, 25, rasanya yang sama dengan minuman teh tarik sebenarnya menjadikan aiskrim di premis ini berbeza daripada yang lain.

"Saya jarang minum teh tarik, tetapi apa yang disediakan di kafe ini sememangnya sama rasanya dengan minuman sebenar.

"Ditambah pula setiap aiskrim dihasilkan di premis itu, tidak timbul soalan sama ada ia segar atau tidak.

"Perisa lain juga tidak menghampakan dan pilihan saya pastinya coklat kacang hazel, cuma ruang kafe yang terlalu kecil dengan kehadiran ramai pengunjung membuat-kannya agak sempit serta tidak selesa," katanya.

Kafe aiskrim Milkcow di pusat beli-belah The Gardens pula menjadi sasaran atas saranan beberapa teman.

Milkcow dari Korea Selatan ini menyediakan aiskrim yang dibuat daripada susu organik dari Itali untuk rasa yang lebih mewah dan asli.

Menariknya, ia boleh disertakan dengan blok sarang madu (honeycomb) 100 peratus semula jadi yang didapati dari ladang madu di Sydney dan Tasmania, Australia.

Untuk pilihan lain, boleh juga cuba hiasan makanan seperti makarun (macaroon), cecair madu, kekacang jeli, kacang merah dan sos coklat putih.

Boleh dikatakan aiskrim di Milkcow antara yang paling digemari ahli kumpulan 'Jom Makan Eskrem' ini.

Kumpulan yang disertai tiga wanita berusia 26 hingga 32 tahun itu seterusnya ke pusat beli-belah Ampang Point bagi menikmati aiskrim kelapa.

Mulanya skeptikal juga, apa ada dengan aiskrim kelapa dan apa bezanya dengan aiskrim kelapa yang lain?

Namun di Sangkaya, aiskrim kelapa ini dihasilkan sendiri menggunakan kelapa premium lalu dihidangkan dalam tempurung kelapa bersama isinya.

Boleh juga dihias bersama emping jagung, kekacang dan sirap coklat untuk cetusan rasa berbeza.

Rasanya berlemak, tetapi tidak begitu manis dan menepati selera ahli kumpulan yang rata-ratanya tidak gemarkan pencuci mulut kaya dengan gula.

Bagi seorang ahli kumpulan, Nurul Hidayah Seman, 29, pengalaman merasai pelbagai jenis aiskrim ini lebih kepada mengembangkan lagi pengetahuan gastronominya.

"Sekurang-kurangnya kita sebagai pengguna dan peminat makanan tahu ada banyak pilihan serta tidak hanya tertumpu kepada satu jenis saja.

"Tetapi, secara peribadi, saya rasakan kafe artisan ini lebih kepada tempat untuk golongan muda melepak dan dilihat 'cool' atau 'hip' berbanding menikmati serta menghayati hasil satu-satu aiskrim itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 8:52 AM