Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei memerlukan keajaiban untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Itu pengakuan jujur Ketua Jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek berdasarkan persaingan pemain lawan dan faktor usia.

Itupun hanya berlaku andai dia dibebaskan daripada penggantungan sementara Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kita boleh tetapkan sasaran untuk dia (Chong Wei) meraih pingat, tetapi bukan emas kerana ia cukup sukar. Persaingan kini semakin sengit di samping faktor usianya yang semakin meningkat,” kata Rashid.

Kelmarin Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap perbicaraan Chong Wei dipercepatkan agar dia berjaya layak ke Sukan Olimpik Rio.

Bagi Rashid, sasaran emas bakal meletakkan dirinya dalam tekanan dan semua perlu faham situasi dihadapinya.

“Memadai jika kita harapkan dia berjaya layak sekali lagi ke Olimpik,” kata bekas pemain perseorangan negara itu.

Bagaimanapun, Rashid tidak terkejut Chong Wei mampu meraih emas jika berlaku keajaiban.

“Keajaiban tidak mustahil berlaku jika pemain utama gagal beraksi pada tahap terbaik dan di sinilah peluang Chong Wei.

“Dia perlu bijak mencuri kesempatan dengan tidak beraksi dalam keadaan tertekan. Saya percaya Chong Wei memiliki kebolehan itu. Dia boleh mempamerkan prestasi terbaiknya,” kata Rashid.

Chong Wei pernah meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan London (2012) dan kedua-duanya menyaksikan dia tewas kepada musuh tradisi dari China, Lin Dan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:23 AM