JUE dan suami memotong kek perkahwinan.
LAGU untuk isteri tersayang.
JUE dan suami bergambar kenangan dengan tetamu.
MEMPELAI bergambar kenangan dengan ahli keluarga dan saudara-mara.
Oleh Michelle Gun


Selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan Bayu Pranama Putra Achmal, 29, hasrat pelakon Jue Aziz, 31, untuk mengadakan majlis resepsi akhirnya terlaksana, malam kelmarin.

Pasangan itu bernikah di kampung halaman Bayu di Makassar, Indonesia pada 9 Mac tahun lalu.

Majlis resepsi bertemakan dalam taman itu berlangsung meriah di Dewan Gzan, Kampung Sungai Tua, Batu Caves dan dihadiri 600 tetamu. Jue dan Bayu cukup bertuah apabila sebahagian daripada persiapan resepsi itu ditaja beberapa pihak.

Ketika ditemui, Jue berkata, dia dan suami bahagia melalui alam rumah tangga.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar cuma perlu menyesuaikan diri walaupun hampir setahun berkahwin. Syukur suami dapat membiasakan diri dengan kehidupan di Malaysia dan dia kini sibuk menguruskan proses untuk menetap terus di sini,” katanya.

Menurut pelakon itu, majlis resepsi itu dirancang pada saat akhir kerana dia akan mengadakan satu lagi majlis di Nilai pada 20 Februari ini.

“Sebenarnya saya bersama keluarga sudah merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada bulan ini. Namun ada pihak menyatakan hasrat ingin menaja perkahwinan saya untuk memperkenalkan Dewan Gzan. Jadi, saya dan suami menerima tawaran itu dan menganggapnya sebagai rezeki.

“Majlis ini dihadiri rakan dan saudara-mara yang tinggal berhampiran kawasan itu,” katanya.

Kata Jue, majlis resepsi kedua di Nilai nanti bertemakan dalam taman terbuka dan konsepnya lebih istimewa. Sementara itu, Bayu berkata, buat masa ini dia berehat dari pada kerjayanya sebagai pemuzik kerana sibuk menguruskan hal perkahwinan.

“Saya tidak pasti bila akan kembali membuat persembahan. Memandangkan saya kini menetap di sini, saya mempunyai perancangan lain,” katanya.

Terdahulu, majlis resepsi yang bermula pada jam 8.45 malam itu dimulakan dengan upacara renjis oleh ibu bapa pengantin lelaki dan perempuan, diikuti upacara santapan beradab pengantin.

Majis dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakan artis seperti Arja Lee, Mardiana Alwi dan Dayana Roza. Arja turut menyanyikan lagu Keabadian Cinta khas untuk pasangan mempelai.

Mereka berdua berkenalan ketika Bayu mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang pada akhir 2013 dan ketika itu Jue bercuti di sana. Selepas beberapa bulan mengenali hati budi masing-masing, Bayu melamar Jue pada Februari tahun lalu sempena ulang tahun ke-31 pelakon itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 8:33 AM