Oleh Adnan Mohamad


Kota Bharu: Empat lelaki ditahan bersama sejumlah dadah jenis pil kuda, eramin-5 dan syabu bernilai RM98,000 di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, kira-kira 12.10 tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, penahanan suspek itu adalah hasil maklumat orang ramai.

"Sepasukan anggota pasukan khas ke tempat kejadian di Jalan Pengkalan Chepa dan menahan seorang lelaki yang kemudian membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di kawasan berdekatan.

"Turut ditemui bersama mereka adalah sejumlah dadah pelbagai jenis bernilai RM98,000.

"Ini adalah rampasan terbesar untuk tahun ini," katanya dalam sidang media diadakan tadi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Mazlan berkata, berlaku sedikit pergelutan ketika penahanan semua suspek namun mereka berjaya ditahan.

Ujian air kencing mendapati semua positif dadah walaupun tiada rekod kes lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 2:32 PM