ANTARA kereta yang rosak teruk akibat kemalangan.
ANTARA kereta yang rosak teruk akibat kemalangan.
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Tujuh kenderaan remuk dan rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuanku Abdul Halim menghala ke pusat bandar raya sebelum susur masuk ke Istana Negara, di sini, petang tadi.

Kejadian pada 3.30 petang itu, dikatakan berpunca daripada lori membawa muatan tanah yang hilang kawalan sebaik menuruni jalan berbukit akibat kerosakan pada gandar.

Jurucakap polis trafik Kuala Lumpur, berkata, pemandu hilang kawalan dan merempuh kereta Kia Forte yang dinaiki pasangan remaja sebelum kereta itu berpusing dan merempuh beberapa kereta lain.

“€œSebuah lagi kereta Kia Forte yang dinaiki pasangan ibu dan anak tidak sempat membrek kemudiannya merempuh kereta itu sebelum kedua-duanya terhenti di tengah-tengah jalan.

“Kejadian itu juga menyebabkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Harrier gagal mengelak lalu merempuh dan terbalik di lorong paling kanan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal tidak menolak sekurang-kurangnya 15 kenderaan terbabit dalam kejadian itu namun hanya tujuh disahkan mengalami kerosakan teruk.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:00 PM