X
RUANG dalaman bangunan Space U8.
RUANG dalaman bangunan Space U8.

Shah Alam: Trio Innovation Sdn Bhd (Trio Innovation) yang menguruskan pusat beli-belah mesra alam, Space U8, di sini, mensasarkan peningkatan jumlah penyewa kepada 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini, jumlah penyewa hanya mencatatkan 10 peratus daripada keseluruhan lot yang disediakan dan sasaran itu direalisasikan melalui beberapa pelan pembangunan yang bakal dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Aris Zawadi Ahmad berkata, pihaknya sudah merangka beberapa strategi yang difikirkan mampu meningkatkan semula sambutan pengunjung dan peniaga di pusat beli-belah yang sebelum ini hambar walaupun sudah dibuka lebih empat tahun.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat menjadikan pusat beli-belah itu sebagai gedung pilihan dengan identiti mesra alam pertama di Malaysia.

“Kami optimis meningkatkan kembali nilai hartanah dan kompleks ini melalui peningkatan jumlah penyewa dan sasaran pengunjung seramai 350,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Menurutnya, bagi merancakkan semula kunjungan ke pusat beli-belah berkenaan, pihaknya merancang mewujudkan pasar malam berkonsepkan Uptown membabitkan 200 gerai jualan pelbagai barangan selain membuka semula pusat boling dalam masa dua bulan.

Katanya, aktiviti istimewa yang dijangka dapat menarik pengunjung ialah ‘Extreme Drift Space U8’ yang menawarkan pengalaman ‘drift’ di tempat letak kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:12 AM