RAIKKONEN gembira dengan dengan peningkatan Ferrari musim ini.
Reuters

Jerez de la Frontera, Sepanyol: Ferrari sudah banyak melakukan peningkatan dalam semua aspek dan kereta baru Formula Satu mereka jelas berbeza berbanding tahun lalu, dakwa Kimi Raikkonen semalam.

“Pakej keseluruhan agak baik berbanding tahun lalu. Kami sudah meningkat dalam semua aspek,” kata juara dunia 2007 itu selepas hari pertamanya pada ujian pramusim di litar Jerez di selatan Sepanyol.

“Kami banyak melakukan perubahan dan peningkatan dan ia pastinya permulaan positif dan kami tidak sabar untuk mencubanya.”

Ferrari gagal memenangi sebarang perlumbaan Grand Prix tahun lalu, kali pertama sejak 1993 dan Raikkonen mencatat musim terburuknya dalam sukan itu apabila berakhir di tangga ke-12 keseluruhan tanpa sebarang penamat podium.

Musim lalu, pasukan itu diketuai tiga prinsipal dengan yang terbaru Maurizio Arrivabene memulakan tugas November lalu.

Juara dunia empat kali dari Jerman, Sebastian Vettel yang hadir menggantikan pemandu Sepanyol, Fernando Alonso, mencatat masa terpantas bagi dua hari pertama ujian, sekalipun catatan masa tidak penting pada peringkat ini berbanding jarak perlumbaan.

Raikkonen yang melengkapkan 92 pusingan bersamaan 407 kilometer kelmarin, menamatkan saingan di tangga kedua terpantas di belakang pemandu rookie Brazil, Felipe Nasr yang memandu Sauber.

“Anda biasanya tahu jika kereta bagus atau tidak dan tahun ini ia jelas cerita berbeza berbanding tahun lalu kerana saya berasa amat selesa sebaik memulakan ujian,” jelas Raikkonen.

Ketika Mercedes sekali lagi muncul pasukan melakukan pusingan terbanyak, dengan Nico Rosberg melengkapkan 151 pusingan kelmarin, peningkatan persembahan Ferrari jelas disedari pencabar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:37 AM