BERKESAN bantu menjaga kecantikan kulit dan rambut tanpa bahan kimia boleh jejas kesihatan.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

[email protected]

Penggunaan cuka dalam masakan serta fungsinya membunuh kuman dan mencuci sememangnya sudah diketahui. Namun bagaimana pula dengan penggunaannya dalam penjagaan kecantikan diri?

Bukan saja bersifat semula jadi dan tidak membahayakan, ia murah dan mudah didapati. Lebih penting, ia sememangnya berkesan untuk membantu kita menjaga kecantikan kulit dan rambut

tanpa bahan kimia yang boleh menjejaskan

kesihatan.

Percaya atau tidak, cuka boleh mempercepatkan penyembuhan lebam, menganjalkan dan memperbaiki struktur kulit. Berikut antara kebaikan cuka yang boleh membantu menjaga kecantikan diri:

Menenangkan kulit

Tambah lapan bahagian cuka ke dalam bekas mandi yang diisi air suam dan berendam selama 15 minit. Kandungan pH cuka yang hampir sama dengan pH kulit akan membantu melegakan banyak masalah kulit.

Penyegar wajah

Campurkan satu sudu cuka dengan dua cawan air. Rendamkan bebola kapas di dalamnya dan sapukannya pada kulit yang sudah dibersihkan untuk menegangkannya.

Biarkan dan jangan dibilas. Cuka juga mengandungi AHA dan asid asetik yang merangsang peredaran darah serta mengecilkan liang roma.

Membilas rambut

Campurkan dua sudu cuka dengan satu cawan air dan basahkannya pada rambut sebelum dicuci bersih. Ikuti pula dengan pelembap rambut.

Asid asetik yang ada dalam cuka akan membantu menyingkirkan sel kulit mati atau kekotoran pada rambut hingga rambut bersinar dan lebat.

Melegakan selaran matahari

Campurkan setengah sudu cuka dengan empat cawan air. Menggunakan kain, basahkan ia dengan campuran itu dan tekapkan pada kulit yang terkena selaran matahari untuk membantunya cepat pulih.

Melegakan kesan luka akibat bercukur

Basahkan bebola kapas dengan cuka dan sapukan pada bahagian yang bermasalah. Sifat menenangkan yang ada pada cuka membuatkan kulit kurang sakit serta melembutkan rambut, memudahkan ia tumbuh ke luar.

Merawat kelemumur

Campurkan cuka dan air dengan nisbah sama. Kemudian gosokkan pada kulit kepala sebelum bersyampu. Cuka mampu membunuh kulat seterusnya menyelesaikan masalah kelemumur dan mengelak masalah sama daripada berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:22 AM