ANUGERAH Meletop ERA menggandingkan lima pengacara iaitu Datuk AC Mizal, Nabil, Zizan, Johan dan Neelofa.
ANUGERAH Meletop ERA menggandingkan lima pengacara iaitu Datuk AC Mizal, Nabil, Zizan, Johan dan Neelofa.
Oleh Michelle Gun


Anugerah Meletop ERA kembali untuk penganjuran tahun kedua dan senarai calon bagi 18 kategori sudah diumumkan dalam sidang media, baru-baru ini.

Bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 22 Februari ini, majlis penganugerahan tahun ini membawa tema ‘Yang Hit, Yang Legend’.

Acara kali ini juga memperkenalkan empat kategori baru iaitu Drama TV Meletop, Artis Lawak Meletop, Hos TV Meletop dan Pelakon TV Meletop.

Pelawak, pelakon dan penyanyi Zizan Razak menerima pencalonan paling banyak iaitu lapan kategori.

Zizan yang juga pengacara dicalonkan bagi kategori Artis Lawak Meletop, Hos Meletop, Pelakon TV Meletop, Bintang Filem Meletop, Fesyen Meletop dan Bintang Online Meletop.

Dia turut dicalonkan untuk kategori Lagu Meletop (Infiniti Cinta) dan Grup Duo Meletop bagi gandingannya bersama Kaka Azraff.

Selain Zizan, Datuk AC Mizal, Datuk Siti Nurhaliza dan Akim Ahmad antara artis yang mendominasi carta pencalonan.

Pemenang bagi kategori utama Top Top Meletop Lelaki dan Wanita akan dipilih berdasarkan selebriti yang menerima jumlah undian tertinggi.

Nama baru yang kali pertama tercalon dalam acara itu adalah Ayda Jebat, Zul Ariffin, Amyra Rosli, Atikah Suhaime, Firman AF, Sharnaaz Ahmad, Abam Bocey dan Jihan Muse.

Malam kemuncak Anugerah Meletop ERA bakal menyaksikan gandingan lima pengacara iaitu Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad, Neelofa, Zizan dan Johan.

Bagi segmen karpet merah pula dikendalikan penyampai Era FM iaitu Haniff dan Ray, Dahlia Shazwan bersama Jihan Muse untuk menemu ramah selebriti dan penggiat seni yang hadir ke acara itu.

Pada malam kemuncak, penonton akan dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air dan luar negara.

Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Sementara itu, peminat yang ingin mengundi boleh berbuat demikian dengan melayari laman web www.meletop.com.my atau www.era.fm.

Acara anjuran program Meletop dan radio ERA fm itu boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan siaran serentak di Maya HD.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:29 AM