MANGSA maut apabila motosikal ditunggangnya kemalangan membabitkan dua lori di Jalan Tampoi Lama, Johor Bahru.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang pemandu teksi maut apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori ketika mengelak lubang di Jalan Tampoi Lama di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Naim Abdul Karim, 68, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai Afnan, 20-an, berkata dia kebetulan melalui lokasi kejadian itu ternampak mangsa serta motosikalnya yang terjatuh.

“Saya mendapatkan mangsa dan ketika memeriksa nadinya, dia masih bernyawa. Namun, ketika menunggu ambulans sampai, mangsa meninggal dunia,” katanya.

Afnan berkata, kemalangan itu dipercayai disebabkan keadaan jalan raya yang berlubang dan mangsa cuba mengelak lubang menyebabkan dia bergesel dengan sebuah lori.

“Saya sendiri pernah terjatuh di lokasi kejadian kerana mengelak lubang yang banyak dan saya percaya mangsa serta lori itu juga ingin mengelak lubang menyebabkan masing-masing hilang kawalan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:59 AM