RAIKKONEN muncul pemandu terpantas sesi ujian pramusim pertama kelmarin.
AFP

Jerez de la Frontera, Sepanyol: Bintang Ferrari, Kimi Raikkonen muncul pelumba terpantas pada hari terakhir siri ujian pramusim pertama di Jerez kelmarin, namun harapan McLaren menamatkan hari tanpa masalah berkecai.

Pemandu dari Finland itu merakam masa terpantas minggu ini, satu minit 20.841 saat diikuti pemandu Sauber, Marcus Ericsson dan juara dunia Lewis Hamilton selepas ketiga-tiganya melengkapkan lebih 100 pusingan.

Namun Jenson Button tidak bertuah selepas minggu sukar gandingan baru McLaren-Honda berterusan.

Button gagal keluar ke garisan pit dalam dua cubaan awal sebelum masalah pam bahan api menjejaskan sesi petangnya selepas hanya melakukan 35 pusingan.

Ia menyebabkan pasukan berpangkalan di Woking itu hanya mengumpul 79 pusingan sepanjang minggu.

Pengarah perlumbaan McLaren Eric Boullier memberi amaran jika ada lagi kesukaran dalam ujian pasti menjejaskan peluang mereka bersaing sebaik musim bermula di Australia enam minggu lagi.

“Malangnya, kami berdepan beberapa masalah minggu ini, semuanya kecil belaka, tapi ia bermakna kami terperangkap di garaj dalam tempoh lama,” ujar pengarah kejuruteraan McLaren, Matt Morris.

“Bagaimanapun, objektif utama kami daripada ujian ini adalah memastikan jentera utama berjalan lancar dan kami sudah melakukannya.”

Red Bull turut menghadapi masalah di bandar selatan Sepanyol itu, namun mereka bangkit daripada masalah unit kuasa pada sebelah pagi apabila Daniil Kyvat melakukan 62 pusingan sekalipun hanya di depan Button dari segi catatan masa.

Juara dunia berganda Mercedes menikmati satu lagi hari maraton dari segi jumlah jarak apabila Hamilton melengkapkan 117 pusingan sekali gus membolehkan mereka melepasi angka 500 pusingan minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:27 AM