MANGSA dihantar ke HUS untuk tindakan selanjutnya. FOTO ihsan Bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Mayat seorang lelaki warga emas yang lemas selepas perahu yang dinaikinya pecah dipercayai dilanggar tongkang berhampiran baraj Sungai Sarawak semalam, ditemui jam 3.47 petang tadi.

Mangsa Wahab Zain, 81, ditemui terapung di belakang tongkang yang berlabuh di tepi Sungai Sarawak, kira-kira satu kilometer dari baraj.

Jurucakap bomba berkata, pekerja tongkang menemui mayat mangsa dan memaklumkan kepada bomba.

Katanya, mayat dibawa ke pusat operasi di baraj untuk pengecaman keluarga sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa yang tinggal di Kampung Bintawa dilaporkan keluar daripada rumah kira-kira jam 4 pagi semalam untuk mencari ketam.

"Bagaimanapun, sehingga jam 9 malam, masih tidak pulang dan membuat laporan di balai polis. Sejurus menerima laporan, operasi mencari menyelamat dijalankan dan menemui peralatan menangkap ketam dan serpihan perahu dipercayai milik mangsa di baraj Sungai Sarawak," katanya.

Operasi SAR kedua disambung jam 8.30 pagi tadi dengan disertai bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), polis dan penduduk kampung.

Operasi dihentikan sebaik mayat berjaya ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 4:50 PM