Kuala Lumpur: Biarpun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu dan lengan, Danny Chia beraksi cemerlang untuk berkongsi tangga ketiga keseluruhan bersama pemain England, Tommy Fleetwood selepas merakam 5 bawah par 67 pada hari pembukaan Kejohanan Golf Terbuka Maybank Malaysia 2015 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, semalam.

Hadir dengan wajah ceria sewaktu ditemuramah media, pemain ranking ke-429 dunia itu mencatat kedudukan terbaik dalam kalangan 22 pemain negara pada kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan AS$3 juta (RM10.9 juta) itu.

Tiga lagi pemain Malaysia Mohd Iylia Jamil, S Sivachandran dan Sukree Othman berkongsi kedudukan ke-14 bersama 11 pemain Jelajah PGA dan Asia lain apabila mencatat 70 pukulan manakala Nicholas Fung berada di tempat ke-29 dengan 71.

Selepas melakukan birdie pertama pada lubang ke-11, Danny mula berasa yakin untuk mencatat empat birdie lagi dan menyaingi Fleetwood serta mengekori dua pendahulu, Lee Westwood dan Graeme McDowell sebelum saingan pusingan kedua hari ini.

“Pukulan putt yang baik pada sembilan lubang pertama membuatkan saya yakin. Catatan permainan saya juga agak bagus.

“Bagaimanapun, hayunan saya masih belum berada pada tahap terbaik dan perlu diperbaiki. Saya tidak memukul dengan baik ketika latihan kerana terlalu memikirkan mekanik hayunan saya,” katanya.

Bagaimanapun, dua bogey pada lubang ke-13 dan 14 menjejaskan sedikit statistik catatan Danny sekalipun merakam birdie pada lubang ketiga, keempat, kelima, ketujuh, ke-10 dan 16.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Permainan saya semakin baik. Latihan bersama jurulatih sebelum datang ke sini membolehkan saya melakukan pukulan putt yang mantap.

“Tangan saya masih belum pulih. Apapun saya masih boleh membuat pukulan dengan iron dan wood jauh seperti sebelum ini. Saya juga melakukan banyak proses pemulihan dan gembira dengan pencapaian ini.”

Sementara itu, prestasi dipamerkan juara 2013, Kiradech Aphibarnrat dari Thailand agak mengejutkan apabila menduduki tangga ke-149 dengan 80 pukulan bersama dua pemain negara, Rizal Amin dan Syarif Yasin, manakala Tuck Soon Chan dan Ben Leong merakam 81 pukulan untuk berada di tangga ke-153 daripada 156 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:51 AM