EMOSI Awie di MITC Melaka.
EMOSI Awie di MITC Melaka.
PERSEMBAHAN Wings masih berbisa.
PERSEMBAHAN Wings masih berbisa.
Oleh Nazri Abu Bakar


Bila hadir cinta yang satu

Jangan ditanya siapa dia

Tanya dia siapa kita

Dan pulang ke mana akhirnya

Kerana cinta

Biar aku dianggap gila oh

Terbang dengan sayap ilusi

Bertutur dalam bahasa hati...

Demikian antara bait lirik lagu Sayap Ilusi daripada kumpulan rock terkenal Wings yang menceritakan mengenai rasa cinta seorang hamba terhadap Tuhannya.

Bagaimanapun, penyanyinya Awie ketika menyampaikan lagu yang liriknya ditulis S Amin Shahab itu dalam konsert Wings Menakluk Kosmos di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini dilihat begitu beremosi.

Pastinya emosi Awie itu berkaitan masalah rumahtangganya apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, baru-baru ini, memutuskan untuk memberikan hak penjagaan sementara (hadanah) anak mereka kepada isterinya, Rozana Misbun.

Dalam perintah itu, mahkamah memutuskan hak jagaan sementara ke atas Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diberikan kepada Rozana sehingga perintah penjagaan kekal ke atas anak-anak pasangan terbabit dikeluarkan.

Bagaimanapun, Awie ketika ditemui menyifatkan isu berkenaan tidak menghalangnya untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat Wings dalam konsert berkenaan.

Baginya, apa yang penting peminat terhibur dan gembira sambil mengimbau lagu-lagu popular Wings yang sudah sebati dengan mereka.

Buktinya, lebih 5,000 peminat yang membanjiri dewan MITC puas dengan aksi Wings yang masih berbisa seperti era kegemilangan mereka sejak 25 tahun lalu.

Bagai mahu melepas rindu, peminat nyata tidak melepaskan peluang menanti kemunculan Wings sejak petang walaupun konsert bermula pada jam 9.20 malam.

Ada yang sanggup datang dari Johor Bahru, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan semata-mata mahu menyaksikan konsert berkenaan.

Lebih menarik, Awie mampu mengekalkan stamina dan vokal bertenaga dengan menyampaikan lebih 16 lagu daripada album sulung Belenggu Irama, Hukum Karma dan Teori Domino.

Kemampuannya mengawal vokal bagi lagu bernada tinggi turut mengagumkan penonton.

Diiringi petikan gitar Joe, Eddie (bass) dan Black (dram) melengkap aksi bertenaga Wings yang seolah-olah tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek zaman.

Hadir sama menyaksikan konsert berkenaan, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah serta bekas Ketua Menteri Tan Sri Mohd Ali Rustam dan isteri, Puan Sri Asmah Abd Rahman.

Dalam pada itu, Awie turut mengakui sambutan di Melaka amat luar biasa berbanding konsert sama di Pulau Pinang, Disember lalu sambil memuji kehadiran peminat yang luar biasa selain kesudian kerajaan negeri memberi sokongan kepada konsert berkenaan.

Katanya, konsert terbabit juga antara lain turut menyumbang kepada tabung bencana yang juga mendapat sokongan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM).

Sepanjang persembahan tanpa henti hampir dua jam itu penonton amat terhibur dan menyanyi bersama Awie ketika dia mendendangkan lagu popular mereka seperti Sejati, Inspirasi Taming Sari selain lagu-lagu medley yang masih melekat di hati peminat setia.

Dalam masa sama, Awie turut menegaskan anggota Wings yang dianggap seperti adik-beradik akan terus bersatu dan hanya ajal yang memisahkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 11:19 AM