NUAR Ayam, kini diburu polis. FOTO ihsan PDRM
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Seorang daripada tiga penjenayah bersenjata yang menyamun kedai perkakas rumah di Kampung Beris Lalang, Bachok semalam dikenal pasti sebagai Anuar Mohammad, 37.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya kini giat memburu lelaki itu yang dikenali dengan gelaran Nuar Ayam.

"Suspek adalah penjenayah paling dikehendaki dan terbabit dengan banyak kes samun bersenjata.

"Dia mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kes Kelantan dan Selangor," katanya di sini, hari ini.

Mazlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nuar Ayam supaya menghubungi pihak polis segera.

Dalam kejadian 5.45 petang semalam, peniaga berusia 52 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), manakala anak perempuannya berusia 17 tahun cedera di kaki selepas terkena tembakan.

Jenazah peniaga itu, Mustaffa Siddiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Chenda, Bachok, 11.30 pagi tadi.

Berkaitan

Peniaga mati ditembak: http://www.hmetro.com.my/node/28961

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 3:59 PM