BARISAN pelakon yang menjayakan teater Diari Wanita ... Episod YB & Nyonya.
Oleh Ramlah Zainal


Kali pertama naskhah Nyonya hasil tulisan penulis Indonesia Wisran Hadi dipentaskan ialah pada 2004.

Walaupun sudah dipentaskan sebanyak enam kali, Nyonya terbitan CTRA Production terus mendapat sambutan hangat daripada penggemar teater tanah air.

Bagai dijangka, pementasan teater Nyonya buat kali ketujuh tetap hebat dan menghiburkan, sekali gus tidak menghampakan peminat setianya sejak dulu.

Kali ini, naskhah terbaru Nyonya bergabung dengan Episod YB serta menggunakan judul teater Diari Wanita mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 11 hingga 16 Februari ini.

Teater garapan Rosminah Tahir ini mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Sherry Alhadad (Nyonya), Juhara Ayob (Keponakan Beautiful), Shahrul Mizad Ashari (Tuan), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Misha Omar dan Zera Hariz (Keponakan Cantik), Nad Zainal (setiausaha), Dina Nadzir (isteri) dan Dayang Kartini Awang Bujang (YB).

Pementasan ini membabitkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Istana Budaya.

Selaku pengarahnya, Rosminah mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memberikan terbaik pada penonton pada hari pementasan sebenar.

"Saya tidak pernah puas setiap kali berkarya. Kalau penonton ketawa sekali pun dalam satu babak dalam teater ini belum tentu ia boleh buat saya turut ketawa. Bagi saya tempoh 20 hari untuk barisan pelakon berlatih untuk pementasan ini tidak cukup.

"Selepas sesi pratonton malam ini (kelmarin), kami akan mengadakan sesi 'brainstorming' dengan barisan pelakon dan kru teknikal terbabit untuk memastikan yang terbaik pada pementasan sebenar nanti," katanya.

Ditanya mengenai monolog watak setiausaha dilakonkan Nad yang panjang dan agak membosankan, Rosminah berkata, dia menerima kritikan itu dengan hati terbuka.

"Sebenarnya, kami baru saja menukar skrip untuk cerita YB itu kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Mungkin kami akan memadatkan cerita monolog itu supaya menjadikan ia lebih menarik nanti.

"Pada mulanya, Nad sepatutnya membawakan watak isteri dalam cerita Nyonya, tetapi saya ingin mencabarnya melakonkan watak monolog dalam cerita YB itu.

"Saya akui Nad perlu lebih banyak latihan untuk menjiwai monolog watak setiausaha itu kerana dia seperti sudah terlalu selesa dengan lakonan di TV hingga penampilannya di pentas teater agak kurang menyerlah," katanya.

Bagaimanapun, kata Rosminah, setiap pelakon dalam teater itu memiliki kelebihan masing-masing.

"Pemilihan barisan pelakon diputuskan penerbit. Saya percaya penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan juga ada sebab tersendiri memilih Shahrul Mizad untuk menggantikan Zaifri Husin sebagai Tuan dalam pementasan kali ini.

"Tapi, kalau orang cakap lakonannya kurang menyerlah untuk watak Tuan, saya boleh melihat kritikan itu dari sudut positif. Mungkin kita perlu beri peluang pada Shahrul Mizad untuk melakonkan watak Tuan kerana Zaifri sudah tiga kali beraksi dengan watak berkenaan," katanya.

Sherry tampil lakonan mantap

Bukan mudah untuk melakonkan watak Nyonya yang berat, sarat dengan dialog dalam bahasa Indonesia dan banyak bermain dengan perasaan.

Namun, pelakon dan pengacara berbakat besar, Sherry Al-Hadad, 30, berjaya melakukannya.

Ternyata pengalaman luas dalam bidang teater memberi kelebihan kepada Sherry untuk melakonkan watak Nyonya dengan baik seperti dikehendaki. Kali pertama Sherry memegang watak Nyonya ialah ketika pementasan Mak Dara Nyonya pada 2011.

Kali ini, Sherry bergandingan dengan rakan lamanya yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Shahrul Mizad yang memegang watak Tuan.

Lakonan Sherry yang cukup bersahaja dan selamba sentiasa mencuit hati penonton. Boleh dikatakan kemunculan Sherry sentiasa dinantikan penonton dari mula hingga penghujung cerita Nyonya.

Sejak dipentaskan enam kali, watak Nyonya pernah digalas barisan pelakon teater hebat seperti Juhara Ayob, Tania Zainal dan Mardiana Alwi.

Ternyata, percaturan CTRA Production mengetegahkan Sherry berjaya memantapkan lagi pementasan ini. Sherry juga tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan barisan pelakon lain terutama watak Tuan dan isteri lakonan Dina.

Tidak kurang hebatnya, penampilan Amy Mastura yang memegang watak Keponakan Anggun dengan baik sekali. Sesekali Amy tidak dapat menahan dirinya yang cepat melatah apabila diusik pelakon lain.

Begitu juga lakonan Juhara sebagai Keponakan Beautiful dan Misha Omar sebagai Keponakan Cantik yang turut menghidupkan pementasan ini.

Secara keseluruhannya, pementasan teater Diari Wanita ini bukan saja menghiburkan dan sesuai untuk seisi keluarga, sekali gus mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan pada penonton.

Harga tiket untuk menyaksikan pementasan ini ialah RM35, RM55, RM85 dan RM155 dan pembelian boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-61866592.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:44 AM