ADI bersyukur masyarakat tidak menghukum dirinya atas cerita khabar angin.
ADI bersyukur masyarakat tidak menghukum dirinya atas cerita khabar angin.
Oleh Ardini Sophia Sina


Selepas kontroversi dikaitkan dengan isteri orang pada 2013, ada yang mengandaikan kerjaya seni pelakon Adi Putra, 34, bakal menjadi suram.

Namun, kejayaan drama Zahira menunjukkan populariti pelakon dari Singapura itu sedikit pun tidak terjejas. Zahira yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 dan berakhir 22 Januari lalu, turut dijayakan Zara Zya. Ternyata lakonannya sebagai Iqbal di samping Zara sebagai Zahira berjaya menarik perhatian penonton.

Adi juga bintang utama filem Isyarat Cinta arahan Bade Azmi dan diterbitkan RK Screen milik Datuk Rosyam Nor. Turut berlakon, Liyana Jasmay dan Fizo Omar.

Ternyata kehadiran Adi terus diterima dan bakatnya tetap dihargai. Namanya tidak pernah lekang dari terus meniti di bibir penonton yang menyaksikan lakonannya.

"Alhamdulillah, selepas masalah itu selesai, saya boleh kembali memberi fokus pada kerjaya seni. Saya boleh katakan drama Zahira adalah batu loncatan untuk saya kembali ke dunia lakonan.

"Syukur kerana masih ramai yang menyokong. Saya percaya rezeki dalam bidang lakonan akan sentiasa ada dan Allah akan makbulkan doa orang yang teraniaya.

"Saya gembira kerana untuk slot Samarinda, Zahira menjadi drama pertama yang mencapai 'rating' tertinggi," katanya.

Zahira yang berjaya meraih rating 2.5 juta penonton adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Mungkin situasi itu bukan perkara pelik buat Adi yang sudah lama bertapak.

Namun dengan gandingan bersama Zara Zya, pelakon yang baru saja meningkat naik, ia sesuatu yang mengagumkan.

Mengenai gandingan kali pertamanya dengan Zara, Adi memuji kesungguhan serta mutu lakonan Zara. Katanya, dia sangat kagum dengan disiplin serta komitmen yang diberi.

"Kejayaan drama itu bukan hanya terletak atas bahu seorang pelakon mahu pun populariti seseorang itu. Namun usaha sama semua individu yang terbabit dengan pembikinan.

"Zara bukan orang baru dalam industri, cuma orang baru mula mengenalinya. Pengalaman sepanjang menjadi anak seni membuatkan kami dapat mencari keserasian. Etikanya sebagai pelakon harus diberi pujian.

"Saya boleh katakan dia umpama Noorkhiriah dan Ellie Suriaty. Bukan berlakon atas dasar rupa, sebaliknya fokus utama ialah meninggalkan kesan di hati penonton.

"Walau di mana pun kita berada, dengan hanya berbekalkan wajah namun mutu lakonan tidak ada, seseorang itu tidak akan melangkah jauh," katanya.

Tambah Adi, walaupun ada peminat menghentam dirinya, dia tidak peduli dan tetap meneruskan karier. Dia yakin drama Zahira tetap menjadi sebutan walaupun 10 tahun akan datang.

Katanya, impak drama itu sama seperti rantaian Tentang Dhia dan Teduhan Kasih. Sehingga kini orang mengingati nama wataknya dalam drama itu.

"Itu tanda positif masih ada masyarakat yang tidak menghukum saya berdasarkan khabar angin," katanya.

Dalam Zahira, Adi juga berlakon dengan dua pelakon cilik, Nur Qistina Raisah dan Habiel Lutfillah Durrani yang menjadi anaknya.

Adi akui bekerja dengan pelakon cilik bukan perkara mudah, apatah lagi kanak-kanak mempunyai emosi serta 'mood' yang sukar diramal. Adakalanya mereka terus saja beraksi di depan kamera, ada juga masanya mereka harus dipujuk.

"Bukan senang berlakon dengan kanak-kanak. Kadangkala mereka riang dan ceria, adakalanya mereka 'moody'. Merengek dan menangis di lokasi penggambaran itu perkara biasa.

"Bagi saya, kebangkitan pelakon kanak-kanak dalam industri adalah perkara positif. Semakin ramai yang muncul, jadi kita dapat melihat pelapis untuk pelakon sedia ada.

"Dengan kehadiran mereka, sekurang-kurangnya tidak ba-nyak cerita saya yang keluar," katanya.

Selain sibuk berlakon, Adi menguruskan perniagaan agensi Umrah, Menara Hadid Holiday dan Menara Rezki yang mula beroperasi sejak awal tahun lalu.

Katanya, Menara Hadid membabitkan dua kali penerbangan dalam sebulan manakala Menara Rezki beroperasi di Arab Saudi bagi menguruskan hal berkaitan Umrah. Adi juga terbabit dalam perniagaan jubah, kurta dan sampul duit raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:00 AM