AFP

London: Dengan baki 15 perlawanan Liga Perdana musim ini, Manchester United sedar bahawa kunjungan ke West Ham United malam esok bukan lagi peluang untuk mereka melakukan eksperimen.

United melangkah ke perlawanan itu dengan status selaku pasukan di tangga ketiga liga dan peluang untuk melangkah ke Liga Juara-Juara musim depan dilihat bukanlah sesuatu yang mustahil dan skuad kendalian Louis van Gaal semakin garang setiap kali bermain.

Selepas hanya mencatat satu kemenangan sepanjang lima perlawanan liga selain tewas 0-1 di tangan Southampton, United sudah kembali ke landasan sebenar apabila menang dua perlawanan terakhir dan menjaringkan enam gol.

Tetapi kedua-dua perlawanan itu bukanlah menentang pasukan besar sebaliknya mereka menang ke atas Leicester City dan Cambridge United pada saingan Piala FA.

Skuad Van Gaal itu tidak pernah tewas di tempat lawan sejak dikalahkan 0-1 oleh Manchester City pada 2 November tetapi sepanjang empat perlawanan terakhir di tempat lawan, mereka hanya menang sekali, itupun ke atas Queens Park Rangers.

Ketika keputusan minggu lalu itu membolehkan United kekal di tempat ketiga dan hanya ketinggalan lima mata di belakang Manchester City, pasukan di bawah mereka - Arsenal, Tottenham Hotspur dan Liverpool – dilihat semakin bergaya.

Eksperimen berhubung taktik yang diamalkan Van Gaal masih menjadi tajuk perbualan menjelang pertemuan dengan West Ham dan mereka berdepan pasukan yang hanya tewas sekali sepanjang 10 aksi di tempat sendiri.

“Sebelum perlawanan menentang Leicester City saya ada menyatakan kepada mereka bahawa ini adalah minggu penting dan kami perlu menang,” kata Van Gaal.

“Selepas kami menang ke atas Leicester, kami berada di tangga ketiga liga. Selepas itu kami menewaskan Cambridge dan kami sudah berada di pusingan selanjutnya di Piala FA.

“Kami perlu meneruskan rentak kemenangan itu dan semua pemain sedar mengenainya tetapi ia bukan mudah kerana kami bermain di luar London menentang West Ham sedangkan aksi di Manchester juga bukan mudah.

“Ia tidak mudah untuk dilaksanakan tetapi kami mahu meneruskan rentak kemenangan. Kami perlu menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:10 AM