Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David terus gah di persada dunia apabila menjuarai Terbuka Amerika Syarikat untuk muncul pemain pertama meraih gelaran ketiga berturut-turut pada kejohanan itu.

Pemain nombor satu dunia itu menewaskan pemain Mesir, Nour El Sherbini 11-5, 12-10, 12-10 dalam tempoh 41 minit pada final yang berlangsung di Universiti Drexel, Philadelphia awal pagi semalam.

Selepas mudah memenangi set pertama, Nour bangkit memberikan saingan sengit pada set kedua apabila sentiasa mendahului Nicol dengan kelebihan satu atau dua mata namun pemain nombor satu dunia kelahiran Pulau Pinang itu akhirnya mendahului 10-9 pada satu ketika sebelum memastikan kemenangan dengan keputusan 12-10.

Kemenangan itu jelas memberi keyakinan kepada Nicol untuk meneruskan rentak cemerlang dan memenangi set ketiga sekali gus menamatkan cabaran Nour yang tampil melakar kejutan dalam kejohanan itu termasuk menewaskan juara dunia, Laura Massaro dalam laluannya ke final.

"Sukar untuk saya mempercayai (memenangi kejuaraan). Lawan bermain dengan sangat baik dan saya perlu meningkatkan permainan kerana saingan sengit yang dipamerkan," kata Nicol selepas menewaskan lawan yang berusia 18 tahun itu.

Jelas Nicol yang memenangi kejohanan itu pada 2012 dan 2013 dengan menewaskan lawan berbeza, Nour menemui rentak dan corak permainan pada set kedua selain melakukan pukulan yang bagus bagi memberikan tekanan.

"Jadi saya meneruskan perlawanan mengikut rentaknya dan pada masa yang sama gembira kerana mampu menonjolkan permainan sendiri untuk melakar kemenangan. Saya sangat gembira," ujarnya.

Kemenangan itu membolehkan Nicol membalas dendam terhadap Nour yang menewaskannya pada separuh akhir Kejohanan Dunia Mac lalu.

Namun Mesir tampil mengungguli kategori lelaki apabila Mohamed El Shorbagy menewaskan rakan senegara, Amr Shabana pada aksi final 8-11, 11-9, 11-3, 11-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:01 AM