NUR Umairah Salaiman maut.
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Jitra: Seorang ibu terlanggar anak perempuannya ketika dia hendak membetulkan kedudukan kereta di halaman rumah mereka di Kampung Lahar Mukim Malau, di sini, 5 petang tadi.

Wanita terbabit segera membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Jitra, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Wanita berusia 47 tahun itu dipercayai terlanggar anaknya dari hadapan ketika membetulkan kedudukan kereta.

Sumber berkata, mangsa, Nur Umairah Salaiman yang berusia tiga tahun itu, baru turun dari kereta berkenaan di halaman rumah mereka.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 12:19 AM