Agensi

Jakarta

Mungkin cuma kebetulan, tetapi ketiadaan Presiden Jokowi di Indonesia sekurang-kurangnya membawa sedikit ‘ketenangan’ kepada agensi antirasuah negara itu.

Jokowi kini berada di Filipina untuk lawatan rasmi ke negara itu sebelum mengunjungi Brunei.

Sebelum ini, Jokowi melawat Malaysia dan bertemu pemimpin utama negara.

Timbalan Ketua Polis Indonesia, Badrodin Haiti berkata, setakat ini tiada sebarang aktiviti yang boleh menambah ketegangan politik, seperti penangkapan atau penggeledahan.

Ketua Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia, Abraham Samad, didakwa terbabit dalam salah laku kerana bertanggungjawab memalsukan dokumen rasmi Feriyani Lim.

Wanita itu juga didakwa menjalin hubungan sulit dengan Abraham selepas gambar intim kedua-dua mereka di dalam sebuah bilik hotel di Makassar tersebar.

Abraham didakwa melakukan pertemuan politik dengan pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menjelang pemilihan presiden tahun lalu.

Abraham adalah antara nama yang disebut ramai sebagai pasangan Jokowi untuk bertarung dengan calon parti lawan, Probowo Subianto - Hatta Rajasa.

Jokowi akhirnya memilih bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Polis dan KPK kini seolah-olah ‘berperang’ kerana kedua-dua agensi saling bertindak ke atas satu sama lain.

KPK menjadikan pegawai kanan polis sebagai suspek dalam kes rasuah, manakala polis pula menahan beberapa pemimpin kanan agensi antirasuah berkenaan kerana salah guna kuasa.

Menurut sumber, Jokowi sempat berpesan kepada polis supaya tidak bertindak apa-apa sepanjang tempoh beliau tiada di dalam negara.

“Arahan itu dibuat bagi mengelak sebarang kekecohan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:09 AM