NAJIB (kiri) menyampaikan hadiah kepada Danny.

Kuala Lumpur: Biarpun tidak memahat nama sebagai juara, Danny Chia dan Gavin Green dipilih sebagai pemain profesional dan amatur terbaik negara beraksi pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015, semalam.

Dua pemain itu berkongsi kedudukan menamatkan saingan dalam kelompok 25 teratas di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara.

Gavin menamatkan saingan dengan 69 pukulan sementara Danny 74.

Mereka mengumpul 284 pukulan keseluruhan, tetapi Danny lebih bernasib baik selaku pemain profesional meraih wang kemenangan sebanyak $AS28,950 (RM93,000) dalam kalangan 73 pemain terakhir.

“Saya tahu saya perlu melakukan catatan terbaik pada sembilan lubang pertama. Bagaimanapun, saya gagal mendapatkan catatan bagus pada kebanyakan lubang sukar,” katanya.

Tiga lagi pemain profesional negara menamatkan saingan adalah Sukree Othman di tangga ke-52, Nicholas Fung (69) dan R Nachimuthu (72) dengan masing-masing turut meraih sekurang-kurangnya antara $AS11,000 hingga $AS4,000 (RM33,000-RM12,000).

Danny berkata, dia sedikit keliru pada sembilan lubang pertama kerana tiupan angin agak kuat.

“Apapun, ini adalah persembahan terbaik saya dalam kejohanan Terbuka Malaysia Maybank jika dibandingkan dua tahun lalu.

“Masih banyak ruang boleh diperbaiki. Saya yakin boleh kembali bermain dengan baik selepas ini.

“Permainan saya lebih matang sekarang, berpengalaman dan yakin dengan cara berfikir mengenai fairway .”

Kejohanan menampilkan cabaran 156 pemain antarabangsa dengan kerjasama Jelajah Eropah dan Asia menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak $AS3 juta (RM10.9 juta) dan ia kejohanan ke-10 ditaja Maybank.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:23 AM