Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Puchong: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini memperkenalkan penggunaan gajet terkini dikenali 'Sicpa Mobile 45' atau 'SM 45' khusus untuk mengesan penjualan minuman keras seludup yang ditampal dengan setem cukai palsu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, 'SM 45' mula digunakan sejak Disember pada setem keselamatan cukai baru yang mempunyai ciri alih warna, pempolaran dan penanda forensik berteknologi tinggi.

"Apabila setem baru itu diimbas gajet 'SM 45' ia akan memaparkan semua maklumat berkaitan produk seperti jenis, kekuatan spirit, isipadu, tarikh pengimportan, nama pengimport sehinggalah ke peringkat peruncitan.

"Malah kecanggihan setem ini juga membolehkan ia diimbas menggunakan telefon pintar oleh pengguna menggunakan platform Android dan akan diperluaskan untuk iOS (Apple)," katanya pada pelancaran gajet itu di TESCO Puchong, hari ini.

Menurutnya, pada tahun lalu dianggarkan JKDM ketirisan hasil sebanyak RM500 juta akibat aktiviti penjualan minuman keras tidak sah di pasaran iaitu 30 peratus daripada duti dan cukai minuman keras yang dipungut sebanyak RM1.72 billion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 12:25 PM