ANTARA si comel yang diselamatkan Nurzahirah dan tunangnya.
ANTARA si comel yang diselamatkan Nurzahirah dan tunangnya.
ANAK muda ini bahagia membantu dan memelihara kucing jalanan.
ANAK muda ini bahagia membantu dan memelihara kucing jalanan.

Haiwan jalanan sering kita pandang jijik. Basyar Mustapha bangga dengan sikap mulia anak muda yang tampil membantu haiwan kurang bernasib baik ini.

Hampir setiap hari kita melihat gambar dan video kucing comel yang dimuat naik di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Kebanyakan kucing berbaka premier ini berbulu tebal, montel dan sungguh manja sehingga apa sahaja ragam mereka kita lihat sangat comel dan menghiburkan. Jadi ramailah yang meletakkan komen ‘comelnya’ dan ‘geramnya mahu peluk’ bagi menunjukkan sayang mereka terhadap haiwan ini.

Namun nasib yang sama tidak diperoleh kucing atau binatang lain di jalanan. Haiwan ini tidak dilihat comel, kurus, bulu tidak gebu malah comot. Akibatnya, mereka tidak diberi perhatian, dibiarkan kelaparan malah ditendang sesuka hati oleh individu yang tidak mengerti kehidupan haiwan itu.

Bagaimanapun, masih ada segelintir individu yang mempunyai belas kasihan terhadap kucing jalanan dan melihat haiwan itu sebagai makhluk Tuhan yang patut disayangi.

Kucing yang tidak terbela nasibnya ini dekat di hati Nurzahirah Mohd Tajuddin, 26. Nurzahirah yang dahulunya tidak mempedulikan kucing ini kini membela lebih 15 ekor kucing di rumah.

“Sebelum ni memang saya tak pernah terfikir langsung nak jaga dan beri makanan kepada kucing yang saya lihat berkeliaran di luar sana kerana tak terlintas pun nak sayang kat mereka ni.

“Tambahan sejak kecil saya tidak pernah mempu­nyai binatang peliharaan kerana tidak digalakkan.

“Satu hari sekitar Oktober tahun 2012 saya terjumpa tiga ekor anak kucing di tepi rumah tunang saya.

“Saya kasihan melihat haiwan itu kelaparan dan mencari-cari makanan. Timbul perasaan ingin memberi mereka makan dan membersihkan mereka.

“Selepas memberi makanan timbul perasaan sayang pada mereka dan saya dan tunang pun mengambil keputusan mahu menjaga mereka,” katanya.

Menurutnya, sejak menjaga kucing dijumpai itulah dia dan tunangnya mula mempunyai perasaan sayang terhadap binatang teraniaya.

“Bayangkanlah daripada saya takut hendak pegang kucing kepada mahu pegang dan belai kucing-kucing ini dan sekarang saya jaga 15 kucing di rumah.

“Saya anggap kucing jalanan yang saya bela ini sebagai anak sendiri dan kucing yang kami terserempak di luar pula sebagai anak angkat,” katanya.

Nurzahirah juga masih ingat lagi beberapa kisah yang menyentuh hatinya ketika terserempak dengan kucing yang sempat diselamatkannya.

“Satu hari saya lalu di restoran makanan segera dan ada seekor kucing berhampiran pintu restoran itu kelihatan kelaparan dan mengharap orang memberi makan kepadanya. Berpuluh-puluh orang yang lalu dan keluar masuk namun langsung tidak mempedulikannya.

“Tanpa buang masa saya pun membawanya pulang dan memberinya makan dan membersihkan haiwan itu.

“Lagi satu kucing jalanan saya jumpa dengan kaki yang putus dan berdarah-darah, tidak sanggup melihatnya terus begitu dan tidak mahu luka itu melarat, saya bawa­nya ke klinik haiwan untuk memberi rawatan dan membawanya pulang,” katanya.

Menurut Nurzahirah, setiap kucing yang dibawa pulang akan diberi rawatan mengikut keadaannya.

Setiap beberapa bulan juga dia dan tunang akan membawa haiwan itu ke klinik untuk pemeriksaan kesihatannya.

“Saya gembira melihat mereka sihat dan tidak lagi kelaparan, malah ia memberi saya satu kepuasan kerana dapat membantu makhluk ciptaan Allah ini.

“Apabila difikirkan, kita perlu bersyukur diberikan akal dan fikiran tidak seperti haiwan ini, jadi tidak ­salah kita berkongsi rezeki kita dengan haiwan kurang bernasib baik ini.

“Mereka juga ciptaan Allah dan berhak untuk hidup tanpa ditindas, apatah lagi apabila difikirkan mereka juga mempunyai nyawa dan tahu rasa kesakitan dan lapar,” katanya.

Nurzahirah yang merupakan jurubekam untuk wanita dan usahawan sambilan bersyukur dia mempunyai masa untuk membantu ba­nyak kucing selagi termampu.

Seorang lagi pencinta haiwan, Nurul Faten Jasmee, 25, berusaha membantu kucing di luar sana dengan caranya sendiri.

“Saya tidak dapat membela haiwan peliharaan di rumah kerana beberapa sebab, namun saya cuba membantu haiwan jalanan yang saya terserempak di luar sana.

“Saya akan pastikan mempunyai makanan kucing di dalam but kereta supaya apabila saya terjumpa kucing yang kelaparan, saya akan memberi mereka makan.

“Bagi saya kita boleh membantu dan menunjukkan kasih sayang kita pada haiwan ini dengan cara kita sendiri dan paling penting jika kita tidak dapat membantu mereka janganlah kita menganiaya mereka pula.

“Sedih jika melihat mereka ditendang dan dipukul hanya kerana meminta makanan,” katanya.

Pengasas rumah ­perlindungan haiwan teraniaya Fur Kids Farm, Maju Shree Appapharai berkata, ramai anak muda sekarang yang semakin sedar pentingnya menyayangi haiwan ­terbiar ini.

“Kesedaran dalam diri anak muda semakin meningkat dan kami lihat ramai orang muda yang tampil dan bertindak membantu haiwan ini tanpa mengira rupa dan keadaan mereka.

“Malah aktiviti kami menyelamat dan menjaga haiwan terbiar juga mendapat sambutan orang muda yang kebanyakannya pelajar universiti dan kolej.

“Namun jalan masih jauh lagi dalam memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada ramai lagi remaja dan individu lain di luar sana.

“Kita masih perlukan sokongan masyarakat dan kerajaan dalam membentuk polisi khas untuk haiwan terbiar ini,” kata­nya.

Maju Shree juga berkata, sebenarnya banyak cara anak muda di luar sana dapat membantu haiwan jalanan yang teraniaya.

“Langkah pertama dengan melihat dan memerhati persekitaran kita.

“Perhatikan adakah kita ternampak haiwan jalanan yang sakit, teraniaya atau kelaparan dan jika ada, fikirkanlah apakah yang boleh kita bantu.

“Bincang dengan ibu bapa atau rakan mengenai apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka setakat kita termampu supaya mereka lebih sihat dan tidak terus teraniaya,” katanya.

Menurut Maju Shree, Fur Kids Farm juga aktif ­mendekati belia melalui media terutamanya media sosial seperti Facebook untuk meningkatkan lagi kesedaran dan bersama-sama membantu haiwan jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 9:32 AM
Digital NSTP Subscribe