Skip this ad x
SUKARELAWAN membantu membersihkan rumah penduduk.
AMI Nardin menyampaikan set peralatan dapur.

Islamic Relief Malaysia (IRM) menghantar misi bantuan banjir pada 16 hingga 18 Januari lalu membabitkan hampir 100 petugas dan sukarelawan IRM termasuk pelajar dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang sangat bersemangat membantu mereka yang masih terkesan akibat banjir besar yang melanda negara.

IRM menyasarkan membantu mangsa dari aspek pembersihan rumah, kerja sukarelawan dan menilai kerosakan kediaman.

Ikon kemanusiaan IRM, kumpulan Raihan tidak ketinggalan menyertai misi kali ini untuk sama-sama membantu melaksanakan tugas meringankan penderitaan rakyat Kelantan.

Pasukan misi bertolak pada petang Jumaat dan tiba di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kesedar, Gua Musang jam 1.45 pagi.

Pagi berikutnya pasukan misi bergerak ke Kampung Limau Kasturi bagi memulakan misi. Sesi taklimat dan pembahagian kerja disampaikan Pegawai Bahagian Bantuan dan Program IRM, Azlan Shah Lazim.

Kira-kira jam 11.10 pagi, kerja pembersihan dimulakan di dua kawasan berbeza iaitu Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi dan rumah di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang.

Pada jam 4 petang, beberapa ahli misi disertai Pengarah Negara IRM, beberapa pengurusan tertinggi IRM, Ikon Kemanusiaan-Raihan, staf IRM serta Ketua Komunikasi Korporat Worldwide Holdings Berhad, Ami Nardin Ishak yang menaja set barangan dapur bagi misi kali ini bergerak ke Kuala Krai menuju Lata Rek.

Konvoi ini membabitkan sebuah van IRM, tiga kenderaan pacuan empat roda dan dua lori sarat barangan bantuan. Antara kampung yang menerima bantuan ini adalah Kampung Cempaka, Kampung Laloh dan Kampung Karangan.

Pada Sabtu malam, misi diteruskan dengan persembahan daripada Raihan di Kem Kasturi, Kampung Limau Kasturi sebagai sesi psikososial dalam kalangan penduduk kampung khususnya kanak-kanak.

Selain itu, agihan barangan bantuan membabitkan tiga lori turut dilakukan sebelum ditutup dengan jamuan makan yang disediakan secara gotong-royong oleh sukarelawan KUIS dan penduduk kampung.

Hari terkahir misi, IRM membawa Raihan sekali lagi ke SK Limau Kasturi untuk sesi psikososial kepada murid-murid sekolah berkenaan dari prasekolah hingga tahun enam.

Pada masa sama, satu lagi pasukan berada di dewan Kampung Limau Kasturi untuk proses pembersihan sebelum berangkat ke Kuala Krai (Kampung Laloh, Kampung Karangan dan Kampung Manjor) untuk menghantar bantuan di samping membuat penilaian terhadap kerosakan.

Menurut Pengurus Bahagian Bantuan dan Program, Kamarul Halim Sakrani, misi berkenaan tidak akan terhenti di situ, namun secara besar-besaran misi terbabit adalah yang terakhir.

“Selepas ini, kami akan bergerak dalam skala lebih kecil untuk membantu membina semula kehidupan mangsa terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 11:14 AM