ANWAR tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan. FOTO Bernama
Oleh Murni Wan Omar


Putrajaya: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini dan kekal bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria membuat keputusan itu selepas membaca rumusan dan keputusan kes terhadap Anwar selama hampir dua jam.

Oleh itu hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 dikekalkan.

Bagaimanapun, pada masa ini prosiding ditangguhkan bagi membolehkan peguam Datuk Gopal Sri Ram menyediakan rayuan bagi mengurangkan hukuman.

Anwar, 68, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari, 30, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Nombor 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.

Bagi perbuatan itu Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria membuat keputusan sebulat suara selepas selesai mendengar rayuan terhadap jumlah hukuman yang dikemukakan oleh peguam Datuk Gopal Sri Ram dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Hakim Arifin dalam keputusannya berkata, mereka bersetuju dengan keputusan Mahakamah Rayuan bahawa Anwar gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Terdapat bukti kukuh yang menyokong keterangan Mohd Saiful Bukhari bahawa dia diliwat oleh Anwar.

"Bukti perubatan dan DNA yang dikemukakan oleh pendakwaan jelas menunjukkan bahawa sel sperma milik Anwar berada di dalam dubur Mohd Saiful Bukhari. Satu-satunya penjelasan logik adalah Mohd Saiful Bukhari diliwat Anwar," katanya.

Anwar dibawa keluar dari bilik bicara 1 Mahkamah Persekutuan pada 2.40 petang dan akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 12:57 PM